Digantung Parti, Tersekat Politik: Ronald Persoal Nasib MP

PARLIMEN | 14 Okt 26 – Akta Anti-Lompat Parti didakwa meletakkan Ahli Parlimen yang digantung keahlian dalam kedudukan serba salah apabila mereka berdepan sekatan untuk menentukan hala tuju politik sendiri, kata Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Ronald berkata, undang-undang itu bukan sahaja gagal menghalang wakil rakyat daripada beralih sokongan kepada kerajaan, malah turut memberi kesan kepada Ahli Parlimen yang dikenakan tindakan disiplin oleh parti masing-masing.

“Tidak boleh ke sana ke sini, tidak boleh membuat perhitungan politik yang baru, kita dalam keadaan yang serba salah. Parti tidak endahkan kita, tetapi kita tak boleh ke depan untuk mencorak jajaran politik kita sendiri,” katanya ketika membahaskan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Selasa.

Menurutnya, keadaan itu menunjukkan keperluan untuk menambah baik undang-undang berkenaan supaya tidak menjejaskan kedudukan wakil rakyat yang digantung keahlian oleh parti.

“Maknanya akta antilompat bukan sahaja tidak dapat menghalang yang lompat, tetapi juga menganiayai kami yang dianiaya oleh parti. Jadi, ia tidak memenuhi tujuannya. Sebab itu ahli-ahli parlimen kerajaan dan kerajaan yang memerintah sekarang harus melakukan sesuatu,” katanya.

Ronald yang juga bekas Naib Presiden Bersatu digantung keahlian parti selama dua penggal, bersamaan enam tahun, berkuat kuasa 10 Mac lalu. Tindakan itu diambil ketika kemelut dalaman Bersatu susulan perebutan kuasa antara Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau antara pemimpin yang menyokong Hamzah, yang dipecat daripada Bersatu pada Februari lalu bersama 16 lagi pemimpin dan ahli Parlimen.

Ronald turut merujuk tindakan enam Ahli Parlimen Bersatu yang mengumumkan sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Januari 2024 tanpa meninggalkan parti.

Bersatu kemudiannya meminda perlembagaan parti dan berusaha mengosongkan kerusi mereka, namun Akta Anti-Lompat Parti tidak mempunyai peruntukan khusus untuk menangani keadaan itu kerana undang-undang berkenaan terpakai kepada Ahli Parlimen yang keluar parti.

Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul sebelum ini memutuskan bahawa akta tersebut tidak terpakai kepada enam Ahli Parlimen berkenaan.

Ronald memberi amaran bahawa Ahli Parlimen kerajaan juga berkemungkinan berdepan keadaan sama sekiranya berlaku pertukaran kerajaan pada masa depan.

“Jadi, ia tidak memenuhi tujuannya. Sebab itu ahli-ahli parlimen kerajaan dan kerajaan yang memerintah sekarang harus melakukan sesuatu,” katanya.

Beliau menggesa kerajaan meneliti semula undang-undang itu bagi memastikan kedudukan Ahli Parlimen tidak terus terikat dengan tindakan disiplin parti sehingga menyukarkan mereka menentukan pilihan politik sendiri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share