
KUALA LUMPUR | 13 Okt 26 – Pendaftar Pertubuhan (ROS) dipersoalkan berhubung tindakan yang didakwa menggunakan pendekatan berbeza dalam menangani isu melibatkan Parti India Malaysia (MIPP), Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).
Presiden Wawasan yang juga salah satu parti komponen PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin mempersoalkan mengapa tindakan susulan aduan dan persoalan mengenai parti komponen ditangani secara berbeza, sehingga akhirnya gabungan itu dikenakan penggantungan.
Menurutnya, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bertindak secara konsisten apabila timbul isu melibatkan parti komponen, termasuk dengan menulis surat kepada pimpinan parti berkenaan bagi mendapatkan penjelasan dan memaklumkan kemungkinan kesan terhadap PN.
Beliau memberikan contoh isu MIPP apabila terdapat aduan terhadap parti itu sehingga Takiyuddin menulis surat kepada presidennya bagi memaklumkan kemungkinan tindakan terhadap PN.
Situasi sama, katanya, berlaku apabila beberapa ahli Parlimen Bersatu mempersoalkan korum mesyuarat parti itu yang berpotensi menimbulkan persoalan mengenai kesahan keputusan dibuat.
“Dato’ Taki sekali lagi konsisten seperti apa yang telah pun dia buat sebelum ini, tulis surat kepada Bersatu, Setiausaha Agung Bersatu,” kata Hamzah ketika sidang media di Mahkamah Tinggi Jalan Duta, hari in.
Bagaimanapun, beliau mempersoalkan respons ROS terhadap isu berkenaan berbanding tindakan yang diambil terhadap PN.
“Yang jadi masalah kita adalah soalan ini tidak terjawab,” katanya.
Beliau berkata, apabila isu berkaitan Bersatu dibangkitkan, ROS dikatakan tidak mahu campur tangan atas alasan Perkara 18C, sedangkan apabila persoalan berkaitan PN dibangkitkan, tindakan penggantungan pula diambil.
“Jadi itu yang menyebabkan ada perasaan, apakah ini political decision yang telah pun dilakukan,” katanya.
Menurut Hamzah, perbezaan pendekatan itu menimbulkan persoalan tentang konsistensi ROS dalam mengendalikan isu yang melibatkan parti politik.
Beliau turut berpandangan bahawa tindakan penggantungan itu menyukarkan kepimpinan PN, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai asas dan pertimbangan di sebalik keputusan berkenaan.
PN memfailkan permohonan bagi mencabar perintah penggantungan bertarikh 23 September 2026 yang dibuat mengikut subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966, selain notis bertarikh 22 September 2026 yang menyatakan hasrat untuk membatalkan pendaftaran gabungan itu selepas tempoh 30 hari.
Antara alasan dikemukakan ialah, dakwaan bahawa RoS tidak mempunyai kuasa menentukan status BERSATU sebagai parti anggota PN, selain dakwaan penggantungan dibuat tanpa memberi gabungan itu peluang untuk didengar. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.