
KUALA LUMPUR, 5 Ogos 25 – Petunjuk ekonomi positif tidak menggambarkan kehidupan sebenar rakyat, kata Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin
Hamzah menegaskan, walaupun petunjuk ekonomi seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), inflasi, dan pelaburan penting untuk ekonomi negara, Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang diumumkan baru-baru ini juga perlu berlandaskan realiti di lapangan.
“Ia tidak boleh bersandar semata-mata kepada idealisme politik kerana RMK13 bukanlah manifesto pilihan raya, benar, angka dan indikator ekonomi seperti sasaran pertumbuhan KDNK, kadar inflasi dan aliran pelaburan adalah penting.
“Tetapi yang lebih penting, realiti di lapangan, kehidupan yang lebih pedih dan mendesak, rakyat sedang susah, rakyat sedang terhimpit,” katanya, dalam ucapan perbahasan RMK13 di Parlimen.
“Apa makna KDNK berkembang 5.5%, jika menurut data Bank Negara, 61% rakyat Malaysia masih tiada simpanan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk kecemasan?
“Apa ertinya inflasi diumumkan 1.1%, kalau harga barang dapur naik hampir setiap minggu? Kita perlu jujur melihat inflasi makanan yang melonjak 2.9% hingga 3.3%, terutamanya di Lembah Klang,” tegasnya.
“RMK13 mesti dipandu dengan realiti sebenar yang dihadapi rakyat,” tegas Ahli Parlimen Larut itu lagi.
Hamzah juga mendakwa, sebulan selepas perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), berlaku kenaikan terhadap barangan asas seperti ikan kembung.
“Yang saya lebih terkejut, ada timbalan menteri kata beras tempatan tidak laku. Saya tidak tahu suara siapa yang cuba dibela? Adakah menteri mendengar keluhan rakyat berkaitan kualiti beras yang dijual.
“Tindak-tanduk beginilah yang menyebabkan rakyat kecewa. Mereka rasa dikhianati. Mereka rasa dihina. Inilah sebabnya lautan rakyat berhimpun di Dataran Merdeka,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.