
KUALA LUMPUR | 4 Mac 26 — Kegagalan Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Perlembagaan Persekutuan memperoleh majoriti dua pertiga semalam bukan berpunca daripada pembangkang, sebaliknya disebabkan ketidakhadiran lapan Ahli Parlimen kerajaan ketika undian dijalankan.
Ahli Parlimen Masjid Tanah, Mas Ermieyati Samsudin, menegaskan blok kerajaan mempunyai 154 sokongan, angka yang mencukupi untuk meluluskan pindaan Perlembagaan yang memerlukan sekurang-kurangnya 148 undi.
“Kalau benar ada 154 yang menyokong kerajaan, mengapa hanya 146 undi diperoleh? Ke mana lapan lagi?” soal beliau.
Menurutnya, adalah tidak wajar pihak kerajaan dan beberapa menteri menyalahkan pembangkang atas kegagalan tersebut, termasuk melalui kenyataan di media sosial, sedangkan matematik di Dewan Rakyat jelas menunjukkan jumlah sokongan kerajaan sahaja sudah memadai.
Mas Ermi turut menjelaskan bahawa pembangkang tidak menolak secara total cadangan mengehadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal. Sebaliknya, sokongan boleh diberikan sekiranya beberapa pindaan dibuat bagi memastikan keseimbangan kuasa terus terpelihara.
Antara cadangan dikemukakan ialah Perdana Menteri tidak lagi memegang portfolio Menteri Kewangan bagi mengelakkan pemusatan kuasa, serta memastikan kuasa Yang di-Pertuan Agong untuk melantik Perdana Menteri kekal terpelihara dengan ruang pengecualian dalam keadaan tertentu.
Beliau menambah, pindaan yang menyentuh Perkara 43(2), 159(5) dan 38(4) Perlembagaan Persekutuan turut melibatkan kedudukan Raja-Raja Melayu dan memerlukan penelitian sewajarnya termasuk perkenan Majlis Raja-Raja.
“Kami konsisten menjalankan peranan semak dan imbang. Tidak timbul isu pembangkang tidak menyokong, jika syarat-syarat asas itu dipenuhi,” katanya.
RUU tersebut gagal apabila hanya memperoleh 146 undi — dua kurang daripada ambang minimum 148 untuk majoriti dua pertiga. Keputusan itu sekali gus mencetuskan persoalan mengenai disiplin dan kehadiran Ahli Parlimen kerajaan sendiri.
Mas Ermi menegaskan kerajaan tidak seharusnya menutup kelemahan dalaman dengan menuding jari kepada pihak lain.
Dalam suasana politik yang bergantung pada angka, kegagalan menggerakkan lapan undi daripada blok sendiri memberi isyarat bahawa cabaran sebenar mungkin bukan datang dari bangku pembangkang, tetapi dari dalam barisan kerajaan itu sendiri.
Baru-baru ini, RUU menghadkan tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal atau 10 tahun, gagal mendapat sokongan majoriti dua pertiga ahli dewan. Ini merupakan tamparan terbesar kerajaan Anwar yang sebelum ini melaung-laungkan reformasi institusi namun gagal mendapat dukungan majoriti ahli dewan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.