‘Reformasi sudah mati’

KUALA LUMPUR, 11 Jun 25 – Perjuangan reformasi oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah satu ilusi semata-mata mempermainkan rakyat untuk membolehkan dia menjadi perdana menteri, kata Pejuang.

Ketua Penerangan Rafique Rashid menegaskan, janji reformasi yang diperjuangkan Anwar sejak sekian lama juga sudah tidak wujud lagi memandangkan ianya sudah mati.

“Reformasi itu hanya ilusi. Satu tema yang dijaja semata-mata untuk permain rakyat agar letak Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri.

Kerana itu, reformasi tidak perlu masa lagi, ianya sudah mati,” katanya, dalam satu kenyataan.

Anwar dalam satu kenyataan sebelum ini mengatakan usaha reformasi institusi yang dijanjikannya memerlukan masa dan persetujuan komponen dalam kerajaan perpaduan yang dipimpinnya hari ini.

“Usah berdalih. Usah beri alasan. Hampir setiap kali sidang Dewan Rakyat akan kedengaran kerajaan Madani ada dua pertiga majoriti. Ada sokongan ramai ahli Parlimen. Desas-desus juga katanya ramai ahli parlimen pembangkang intai peluang bersama Madani.

“Kalau sudah ada majoriti, jangan takut, bentang sahaja semua usul struktur semula tadbir urus yang perlu di Dewan Rakyat. Pasti lulus, tiada siapa akan cabar kewibawaan perdana menteri,” kata Rafique lagi.

Beliau juga mempersoalkan penyokong Anwar sebelum ini yang lantang mengkritik pentadbiran sebelumnya sehingga tahap mengadakan demonstrasi jalanan menuntut pembaharuan.

“Kalau dulu tidak boleh sabar, kenapa sekarang boleh pula? Kalau dulu baju kuning banjiri KL, mengapa sekarang semua diam seribu bahasa? Seperti juga perdana menteri ke -10, mereka juga hipokrit.

“Kali ini mana dia Bersih? Mana dia NGO-NGO pro PKR, pro DAP , perkumpulan-perkumpulan persatuan perniagaan dan/atau dewan perniagaan Cina? Adakah mereka hanya senyap kerana perdana menteri pilihan ada di puncak kuasa?,” sindir Rafique. @politiko

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share