
KUALA LUMPUR, 15 Sep 25 – Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil hari ini mendedahkan beliau turut menjadi mangsa ugutan video seks yang dipercayai dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Berdasarkan laporan semasa, setakat ini sekurang-kurangnya sembilan ahli politik menerima ugutan sama, termasuk Timbalan Perdana Menteri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang Wong Chen, Ahli Parlimen Sungai Petani Taufiq Johari, Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, ADUN PKR Najwan Halimi, Fahmi Ngah, Senator PKR Manolan Mohamad, ADUN Gerakan Wong Chia Zhen, serta Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi daripada DAP, Chan Foong Hin.
Fahmi berkata ugutan itu dihantar melalui alamat emel yang sama, dengan tangkapan skrin video yang disunting menggunakan AI. “Malah wajah saya dilekatkan pada salah seorang lelaki dalam video tersebut,” katanya, sambil menegaskan MCMC dan polis sudah digerakkan untuk menyiasat.
Dalam perkembangan yang sama, Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Wan Saiful Wan Jan pula mendedahkan terdapat kemungkinan lebih ramai ahli parlimen menjadi mangsa, namun tidak menyedari kerana emel berkenaan masuk ke kotak spam.
“Saya sendiri hanya perasan pagi tadi semasa bersarapan di Pokok Tampang, Tasek Gelugor. Saya menerima emel dengan mesej kononnya seorang penyiasat persendirian mempunyai bukti aktiviti jenayah saya dan menuntut bayaran 100,000 USDT. QR code bayaran serta gambar palsu di atas katil turut disertakan,” katanya.
Beliau menambah gambar diterimanya kelihatan sama dengan imej yang dihantar kepada ahli politik lain.
“Saya akan merujuk kepada pihak berkuasa sama ada laporan rasmi perlu dibuat. Namun saya yakin rakyat tahu gambar ini palsu, tidak perlu pun siasatan luar negara untuk mengesahkannya.”
Siasatan awal menunjukkan kaedah penyebaran ugutan ini tersusun dengan kandungan hampir serupa ke atas semua mangsa, menimbulkan kebimbangan wujudnya sindiket terancang untuk menekan tokoh politik negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.