Sanusi Dakwa Lengah SOP REE Disengajakan, Menteri Nafi

KUALA LUMPUR, 19 Mei 25 – Prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi (REE) didakwa lewat dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan seolah-olah disengajakan bagi menghalang negeri-negeri di bawah gagasan empat negeri Perikatan Nasional (SG4) daripada lebih maju.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa beliau merasa kesal kerana sehingga kini SOP bagi mengekstrak galian tersebut masih belum dikeluarkan oleh Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).

Tambahnya, negeri-negeri SG4 khususnya Kedah, Kelantan dan Terengganu mempunyai sumber REE yang sangat banyak dan berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan sekiranya diteroka secara sah.

“Paling banyak sekali REE ada di SG4. Sebab itu saya agak mereka tak berani keluarkan SOP. Kalau keluarkan SOP (untuk perlombongan), kayalah negeri-negeri SG4, termasuk Kedah. Saya agak begitu.

“Tetapi sehingga kini, SOP untuk melombong REE masih belum dikeluarkan oleh kementerian berkenaan, meskipun sudah berkali-kali sesi libat urus dijalankan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sebelum ini, beliau memaklumkan kerajaan negeri masih menunggu SOP bagi eksplorasi REE kerana tiada dokumen rasmi berkaitan penerokaan industri REE dikeluarkan oleh pihak kementerian setakat ini.

Pada 24 November lalu, Muhammad Sanusi turut mencadangkan agar NRES meminda beberapa dasar sedia ada bagi membolehkan perlombongan REE dapat dijalankan segera.

Menurutnya, kerajaan negeri telah mengusulkan supaya dasar yang menyekat aktiviti perlombongan dalam kawasan hutan simpan dikaji semula, memandangkan kebanyakan sumber REE dikenal pasti berada di kawasan tersebut.

Keadaan itu menyebabkan lesen perlombongan untuk mengekstrak REE tidak dapat dikeluarkan walaupun kebenaran meneroka telah diberikan.

Berdasarkan laporan media hari ini, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan menafikan dakwaan tersebut.

Menurut Nik Nazmi SOP Perlombongan REE di Malaysia telah disediakan dan diedarkan kepada semua kerajaan negeri melalui surat bertarikh 20 Dis 2023. @sumber

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share