PN Mahu Malaysia Bina Konsensus Baharu Lebih Mampan, Kata Hamzah

KUALA LUMPUR, 22 MEI 25 — Perikatan Nasional (PN) menyatakan kesediaan untuk memacu negara ke hadapan dengan membentangkan satu agenda komprehensif bagi membina konsensus nasional baharu yang lebih mampan dan inklusif dengan berteraskan kesejahteraan rakyat, kata Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Ketua Pembangkang berkata, walaupun berada dalam blok pembangkang di peringkat Persekutuan dan di beberapa negeri lain, PN kekal teguh sebagai pembangkang yang konstruktif dan bertanggungjawab.

PN, tegas beliau, mahu menyusun semula keutamaan nasional dengan memastikan keseimbangan antara perbelanjaan pembangunan dan kebajikan, sambil melindungi golongan rentan secara berperikemanusiaan.

Timbalan presiden Bersatu itu berkata, antara tumpuan utama PN ialah pelaburan berimpak tinggi dalam pendidikan, pemerkasaan wanita dan belia, pembangunan infrastruktur digital serta kemahiran teknikal untuk memperkukuh daya saing negara.

“Kami akan menjadi kerajaan yang berdisiplin secara fiskal dengan fokus untuk mengurangkan kebergantungan kepada hutang, ia memerlukan sistem percukaian diperkemas bagi membanteras ketirisan dan pembaziran. Pendigitalan dan pemansuhan kerenah birokrasi perlu menjadi kunci reformasi pentadbiran awam,” jelas Hamzah, ketika sesi syarahan bersama ISEAS Yusof Ishak Institute, hari ini.

Dalam ucapan bertajuk “Pandangan  terhadap Landskap Politik Malaysia – Membina Konsensus Baharu”, Hamzah menegaskan yang PN sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada rakyat berdasarkan fakta dan kebenaran.

“Seperti kapal berlabuh dalam badai, kami tetap kukuh — bersedia belayar apabila angin rakyat bertiup,” katanya.

Dalam syarahannya, Hamzah berkata terdapat beberapa sektor yang akan diberikan perhatian oleh PN, antaranya termasuklah pelaburan berimpak tinggi.

Beliau menyarankan agar Malaysia meneroka sumber kekayaan baharu dan mampan seperti tenaga boleh diperbaharui serta mineral nadir bumi, selain meningkatkan keupayaan dalam sektor semikonduktor bagi memperoleh nilai tambah lebih tinggi dalam rantaian bekalan global.

PN turut menyasarkan Malaysia kembali dalam kelompok 10 teratas dalam penarafan “Kemudahan Menjalankan Perniagaan” dunia menerusi reformasi sistem pelesenan, kelulusan pantas dan penghapusan rasuah.

“Pelabur mahu kestabilan politik dan dasar yang jelas — bukan ketidaktentuan. Kami akan pulihkan keyakinan itu dengan memastikan polisi konsisten serta memperkenalkan instrumen kewangan baharu dalam pasaran modal dan ekuiti,” katanya.

Mengulas isu keselamatan makanan, Hamzah berkata negara perlu mengurangkan kebergantungan kepada import makanan yang kini mencecah RM75 bilion pada 2023, satu angka yang disifatkannya tidak mampan.

Sebaliknya, Hamzah berkata, PN, komited memperkukuh industri agro-domestik melalui pemodenan sektor pertanian dan pemerkasaan agropreneur muda dengan latihan serta insentif bersasar.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap kebergantungan berlebihan kepada tenaga kerja asing dan menegaskan keperluan pelaburan dalam automasi serta pembangunan modal insan tempatan menerusi latihan vokasional dan teknikal.

“Tenaga kerja tempatan mesti diperkasa. Pada masa sama, kita pastikan hak pekerja dilindungi melalui galakan rundingan kolektif demi keadilan dan maruah semua pihak,” tegas beliau.

Melangkah ke hadapan, PN kata Hamzah, menyasarkan Malaysia sebagai negara yang bersedia menyambut masa depan dengan teknologi sebagai tunjang transformasi negara.

“Kecerdasan buatan, tenaga hijau dan ekonomi digital akan menjadi tiga teras utama. Kita mesti melabur dalam teknologi baharu, galakkan inovasi tempatan dan selaraskan dasar pendidikan serta pekerjaan dengan keperluan ekonomi global yang pantas berubah,” ujar Hamzah.

Tambahnya lagi, PN komited membina Malaysia yang bijak, kompetitif dan mampan — tanpa mengabaikan nilai-nilai kemanusiaan. @politiko.my

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts

MINDEF Akur Arahan PM Beku Sementara Perolehan

Seiring dengan pendirian kerajaan memperkukuh integriti, MINDEF turut memaklumkan bahawa kementerian sedang meneliti langkah-langkah penambahbaikan terhadap proses perolehan, seperti yang diumumkan awal minggu ini, bagi memperkukuh tadbir urus dan mengelakkan sebarang ketirisan pada masa hadapan.
Read More
Total
0
Share