
KUALA LUMPUR, 27 Jun 25 – Tiada perancangan menyeluruh mengakibatkan kerajaan mengambil keputusan mengecualikan beberapa item buah-buahan import seperti epal dan oren dikeluarkan dari senarai barangan dikenakan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST).
Ketua Penerangan Bersatu Datuk Tun Faisal Ismail Aziz berkata, keadaan itu menunjukkan dasar yang digubal kerajaan tidak difikirkan secara menyeluruh dan tidak mengambil kira keseluruhan sistem percukaian negara.
“Apabila rakyat tidak berpuas hati, pembangkang mengkritik dan peniaga pula meluahkan rasa tidak gembira, barulah kerajaan tukar.
“Masalahnya kerajaan tukar satu atau dua item sahaja,” katanya.
Sistem cukai itu bagaimanapun katanya tidak efisien dan sering mengakibatkan ketirisan kutipan.
“Cukai yang tidak efisien dan mempunyai ketirisan ini akhirnya membebankan bukan sahaja peniaga, tetapi juga pengguna.
“Akhirnya, pengguna terpaksa memilih barangan lebih murah dan peniaga pun turut terkesan,” katanya.
Kementerian Kewangan sebelum ini berkata bahawa peluasan SST mulai 1 Julai, termasuk kadar 5% ke atas buah-buangan import, secara strategik bertujuan untuk mengukuhkan permintaan pertanian tempatan dan mengukuhkan keselamatan makanan.
Namun semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan epal dan oren import dikecualikan daripada peluasan SST, selepas mengambil kira ramai dalam kalangan B40 membelinya kerana harga berpatutan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.