
KUALA LUMPUR, 17 Jun 25 – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa membuktikan janji kebebasan media yang dilaungkannya dan bukan sekadar fantasi dengan pelaksanaan berbeza, kata wakil rakyat pembangkang.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor Datuk Wan Saiful Wan Jan dari Bersatu mempersoalkan penggunaan Akta Hasutan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang dakwanya masih digunakan menyiasat pengguna media sosial, wartawan dan aktivis yang menyuarakan pandangan kritikal terhadap kerajaan.
“Terdapat banyak insiden di bawah pentadbiran Anwar Ibrahim di mana portal berita, wartawan, dan aktivis media sosial menerima tekanan melalui siasatan, panggilan polis atau SKMM, dan pelbagai tindakan lain, terutama apabila menyentuh isu yang dianggap sensitif oleh mereka yang berkuasa. Ini mencerminkan penggunaan kuasa secara selektif terhadap media.
“Malah, tekanan kepada kebebasan melapor juga berlaku apabila alasan “3R” (Raja, Agama, Kaum) digunakan secara longgar dan tidak jelas,” kata Wan Saiful dalam satu kenyataan.
Sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (Hawana) tahun ini, Wan Saiful turut menggesa pengamal media mendesak kerajaan memansuhkan segera penggunaan Akta Hasutan dan menyemak semula Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia agar diselarikan dengan semangat kebebasan bersuara yang tulen.
“Saya juga menyeru semua pihak samada pihak berkuasa, pakar undang-undang, ahli akademik atau pengamal media untuk mendesak agar satu definisi yang jelas diberikan terhadap ‘batas 3R’ agar tidak disalahgunakan untuk menutup ruang demokrasi.
“Untuk benar-benar meraikan Hawana 2025, ucapan retorik kosong bukan caranya. Jika benar mahu media menjadi tonggak amalan demokrasi, sepatutnya kerajaan segera menghentikan tekanan terhadap pengamal media, baik media tradisional mahupun media sosial,” tegasnya.
“Sekiranya Anwar masih berpegang kepada prinsip reformasi, beliau mesti buktikan melalui tindakan tegas memperkukuh kebebasan media bukan sekadar memperindah fantasi dengan ucapan lunak dan habuan dana.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.