
KUALA LUMPUR, 1 Jul 25 – PAS mempersoalkan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim Malaysia dan Indonesia bakal bekerjasama untuk meneroka wilayah Ambalat.
Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan PAS Nurul Islam Mohamed Yusoff turut mempersoalkan kerajaan dilihat tergesa-gesa bersetuju memulakan pembangunan bersama dengan Indonesia di blok berkenaan yang merupakan kawasan perairan yang belum dimuktamadkan sempadan maritim yang menjadi pertikaian sejak berdekad lalu.
“Analogi dia macam ini, ada jiran kau ceroboh pagar rumah kau. Takkan kau nak cakap kat dia, jom kita duduk sekali atas alasan ‘lebih baik kongsi dari rugi semua?’ Atau kita patut tuntut hak kita dengan jelas dan bermaruah?
“Ini mentaliti pemalas dan desperado. Bukan bijaksana,” katanya, dalam hantaran Facebook.
Pihaknya mempersoalkan Triti Sulawesi yang ditandatangani sejak dua tahun lalu yang berstatus rahsia didedahkan kerana melalui menyahklasifikasi dokumen itu ia boleh akses oleh rakyat Malaysia.
“Apakah kerajaan Malaysia mahu hasil bumi yang patut milik Malaysia, tiba-tiba dikongsi bersama dengan Indonesia? Mana maruah kita sehingga sanggup korbankan hak kita?”
Anwar dan Presiden Indonesia Prabowo Subianto sebelum ini menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk mempercepat kerjasama strategik dalam pelbagai bidang, termasuk pembangunan bersama di wilayah sempadan maritim antara kedua-dua negara di Ambalat secara damai dan saling menguntungkan.
Nurul Islam bagaimanapun berkata, wujud beberapa persoalan yang perlu dirungkai perdana menteri antaranya punca kuasa menubuhkan perjanjian pembangunan bersama (JDA) di kawasan Ambalat, dan sama ada ianya telah mendapat persetujuan Parlimen dan Kabinet.
Beliau turut mempersoalkan sama ada Anwar berani untuk bawa satu rang undang-undang seperti mana penubuhan Malaysia Thailand Joint Authority (MTJA) ke dalam Parlimen dan dibahaskan bersama dengan Triti Sulawesi?
“Apakah keputusan teroka bersama ni melibatkan blok ND6 dan ND7 yang terdapat pertikaian sahaja atau keseluruhan kawasan Ambalat?
“Kenapa tak bawa kawasan pertikaian ke Mahkamah ICJ dan majukan kawasan selebihnya? Kenapa nak majukan kawasan yang dipertikai tu juga?,” soalnya.
“Ambalat ni memang hak Malaysia. Apatah lagi selepas Mahkamah ICJ memutuskan Pulau Sipadan dan Pulau Ligitan adalah milik Malaysia pada tahun 2002. Tuntutlah hak negara dan jangan mudah diserah begitu sahaja.” @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.