
KUALA LUMPUR, 6 Jul 25 – Wakil rakyat Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Itali dan Perancis tidak lebih sekadar lawatan ego seseorang.
Ahli Parlimen Machang berkata, tiada sebarang laporan media asing berkenaan potensi pelaburan yang dinyatakan Anwar kecuali dari media tempatan.
“Yang mencuri perhatian hanyalah satu perkara, kejayaan Perancis menjual berbilion dolar pesawat Airbus kepada Malaysia. Media antarabangsa seperti Reuters menyambut berita itu, bukan kerana kehadiran Anwar, tetapi kerana keuntungan besar yang bakal diraih oleh syarikat mereka.
“Jadi apa sebenarnya yang kita peroleh daripada lawatan ini?
“Di mana laporan tentang pelaburan asing yang berjaya dimeterai? Di mana komitmen dua hala dari kerajaan Itali dan Perancis untuk meningkatkan perdagangan dengan Malaysia?
“Setakat ‘potensi pelaburan’ dan ‘kenyataan niat’, kita semua tahu itu hanyalah gula-gula protokol – tiada jaminan, tiada impak sebenar,” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Tambahnya, rakyat juga tertanya-tanya sama ada ini lawatan rasmi seorang pemimpin negara, atau sekadar ego trip seorang yang mahu dilihat sebagai negarawan global tetapi hanya oleh negaranya sendiri.
Pengerusi portfolio hubungan antarabangsa ahli-ahli Parlimen Perikatan Nasional berkata, syarahan Anwar di Université Sorbonne yang merupakan sebuah institusi pendidikan paling prestij, setaraf Oxford atau Cambridge di UK juga menimbulkan persoalan.
Dakwanya, tidak wujud satu pemakluman rasmi mengenai syarahan ini di laman web Universiti Sorbonne mahupun fakulti dan lokasi Salle Louis Liard.
“Memang megah, tetapi setelah disemak, tiada sebarang penyertaan rasmi nama Anwar atau Malaysia dalam kalendar akademik universiti tersebut,” dakwanya
“Yang nyata, Malaysia membeli. Malaysia membayar. Malaysia berbelanja.
“Itali dan Perancis pula? Mengangguk dan menjual,” tambahnya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.