Usul Bersatu PD Mahu Angkat Muhyiddin Jadi Mentor, Bukan Singkir – CheguBard

KUALA LUMPUR, 9 Jul 25 – Bersatu Bahagian Port Dickson tidak berhasrat menyingkirkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai presiden dalam usul yang diluluskan persidangan bahagia itu hujung minggu lalu, kata ketuanya Badrul Hisham Shaharin.

Beliau yang lebih dikenali sebagai CheguBard menegaskan, usul berkenaan sebaliknya mengangkat Muhyiddin sebagai mentor kepada kepimpinan pelapis.

“Tiada langsung usul penggantian Presiden dinyatakan dalam mesyuarat tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Bersatu Port Dickson, hari ini.

CheguBard berkata, usul berkenaan mahu memberi ruang dan peranan aktif kepada Timbalan Presiden Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam menjalankan operasi harian bagi memimpin barisan hadapan disamping memanfaatkan kepakaran Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin sebagai ahli akademik dalam pelbagai sudut dan peringkat.

“Manakala Muhyiddin sebagai presiden pengasas akan menjadi mentor utama kepada kumpulan pemimpin muda yang telah dan akan diangkat sebagai pemuka parti,” katanya.

Aktivis politik itu berkata, isu berkenaan  timbul selepas usul mengenai pemerkasaan kepimpinan terancang di setiap peringkat telah disalah tafsir.

Chegubard turut melahirkan rasa kesal terhadap tindakan beberapa pimpinan parti yang terus mengeluarkan kenyataan tidak sepatutnya tanpa menyiasat kesahihan maklumat terlebih dahulu.

“Bukan nak ganti Muhyiddin, tetapi mahu menggunakan sepenuhnya kepakaran kepimpinan di setiap peringkat yang saya rasa tiada apa-apa kesalahan pun.

“Mungkin ada rakan media yang salah faham dalam pelaporan, kemudian beberapa pemimpin yang tidak matang terus memberi maklum balas menyerang, semata-mata untuk mencari publisiti murahan,” ujarnya.

Beliau turut menegaskan terdapat usul lain turut dibangkitkan dalam mesyuarat tersebut termasuk berkaitan masalah rakyat, pengurusan dan suara akar umbi yang dibawa oleh cawangan masing-masing namun tidak menerima perhatian seperti mana usul tersebut.

“Saya kesal kerana apabila dibuat aduan berkaitan masalah disiplin, ia tidak mendapat tindakan segera. Namun apabila isu ini timbul, ia pula mendapat perhatian yang tidak sepatutnya.

“Semua pihak perlu bertenang dan saya minta pemimpin yang telah mengeluarkan kenyataan salah, jika ada maruah kena perbetulkan kenyataan tersebut,” katanya, dan menambah, reaksi beberapa pihak turut menunjukkan sikap membodek pemimpin berlaku dalam Bersatu.

“Saya percaya presiden lebih terbuka terhadap isu ini kerana beliau telah berdepan pelbagai cabaran lebih besar dalam mengurus parti dan dunia politik.

“Pemimpin boleh teruskan komitmen untuk lantang bersuara, tetapi fokuslah kepada isu rakyat. Isu ini membuka mata mengenai sikap segelintir pemimpin yang ‘membodek’ secara melampau, sekali gus memberi isyarat tidak baik kepada parti,” katanya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share