Hamzah Zainuddin Merayu Pengundi Sabah: “Undilah Dengan Ikhlas”

KOTA KINABALU, 27 NOV 25 — Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) Sabah, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, membuat rayuan terbuka kepada pengundi Sabah agar memilih PN berasaskan keikhlasan dan pertimbangan masa depan, bukan sogokan atau pengaruh kewangan.

Dalam ucapannya kepada para penyokong, Hamzah menegaskan bahawa PN bukan parti yang kaya atau memiliki dana besar seperti gabungan lain, namun membawa tawaran perubahan yang lebih bersih dan berprinsip.

“Saya merayu kepada rakyat Sabah… tolonglah. Kami bukan parti yang mempunyai dana besar. Jika kamu mahu mengundi kami, bacalah Bismillah. Tanya pada Allah SWT,” katanya.

Beliau mengingatkan bahawa undi yang diberikan hari ini akan menentukan masa depan generasi akan datang, sambil menekankan bahawa tiada sebarang “penganuan” atau imbuhan ditawarkan oleh PN.

“Apa yang kamu berikan ini adalah untuk masa depan kamu dan anak cucu kamu. Tidak ada penganuan. Yakinlah,” katanya lagi.

Hamzah turut menyifatkan penyertaan rakyat dalam proses demokrasi sebagai satu bentuk jihad politik yang dilakukan demi masyarakat Sabah.

“Saya berdoa supaya apa yang kamu lakukan ini dirahmati Allah. Bermula dari rumah tadi adalah untuk berjihad secara ikhlas,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, beliau memberi amaran kepada pengundi supaya tidak mengulangi kesilapan memilih pihak yang hanya memberi imbuhan jangka pendek tetapi gagal menyelesaikan isu asas rakyat.

“Jangan kamu menangis nanti. Hari ini kamu mengambil penganuannya, besok kamu mengundi mereka, lusa kamu kembali kepada masalah api dan elektrik mati serta jalan yang berlopak-lopak,” tegasnya.

Rayuan lantang Hamzah ini hadir menjelang minggu terakhir kempen PRN Sabah, ketika persaingan antara parti semakin sengit dan isu integriti serta kebajikan rakyat menjadi fokus utama. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share