
KUALA LUMPUR, 22 Jul 25 – Lawyers for Liberty (LFL) menggesa penjawat awam agar mengabaikan amaran Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar agar tidak menyertai himpunan Turun Anwar yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini.
Pengarah LFL Zaid Malek berkata, amaran yang keluarkan Shamsul Azri kelmarin sebagai “tidak sah di sisi undang-undang” dan tindakan terdesak oleh kerajaan.
“Kenyataan KSN tiada asas undang-undang dan jelas bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Perkara 10(1)(a) dan (b) dalam Perlembagaan menjamin hak kebebasan bersuara dan hak untuk berhimpun secara aman.
“Ini undang-undang tertinggi negara yang sepatutnya dipelihara oleh Shamsul Azri. Apakah dia sudah lupa sumpah jawatannya? Tugasnya adalah untuk melindungi penjawat awam, bukan menindas atas arahan kerajaan.
“Justeru, kami menggesa semua penjawat awam agar tidak mengendahkan arahan yang tidak sah ini. Adalah sah dan wajar untuk penjawat awam menyertai himpunan aman ini sekiranya mereka mahu,” kata Zaid dalam satu kenyataan, baru-baru ini.
LFL juga katanya memberi jaminan mereka menyediakan bantuan guaman kepada mana-mana penjawat awam yang dikenakan tindakan kerana menyertai himpunan itu.
“Mengkritik perdana menteri adalah hak demokrasi penjawat awam, bukannya perbuatan tidak setia kepada negara.
“Perdana menteri adalah seorang tokoh yang dipilih rakyat, bukan raja. Mandatnya datang daripada rakyat, dan boleh juga ditarik balik oleh rakyat — itu hak dalam sistem demokrasi,” katanya lagi. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.