RMK13 Tidak Sentuh Reformasi Institusi – GEM

KUALA LUMPUR, 4 Ogos 25 – Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dibentangkan baru-baru ini langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi, dakwa pertubuhan Gerakkan Ekonomi Malaysia (GEM).

Presiden GEM Dr Armin Baniaz Pahamin berkata, kandungan dokumen tersebut turut tidak menyentuh perincian perkongsian kuasa antara negeri dan pusat.

“Yang paling membimbangkan, RMK13 langsung tidak menyentuh soal reformasi institusi.

“Tiada pengukuhan SPRM, tiada pembaharuan sistem pelantikan kehakiman, dan tiada perincian bagaimana kuasa dan hasil akan dikongsi semula dengan negeri, khususnya Sabah dan Sarawak,” katanya, dalam satu kenyataan.

Menurut GEM, perbelanjaan besar bagi infrastruktur tanpa sebarang reformasi dalam sistem perolehan akan memberi laluan kepada kronisme dan konsesi yang tidak dipertanggungjawabkan.

Katanya, disebalik angka RM611 bilion RMK13, lebih suku daripada keseluruhan pelaburan disalurkan melalui GLIC dan kerjasama awam-swasta (PPP) dan bukannya perbelanjaan langsung oleh kerajaan.

Menurutnya itu bukan pelaburan negara dalam erti kata sebenar, tetapi satu pemindahan risiko dan tanggungjawab kepada entiti yang tidak tertakluk kepada semak dan imbang Parlimen.

Sehubungan itu, GEM antara lain menuntut penubuhan jawatankuasa Parlimen bagi mengawal GLIC & PPP untuk semak dan imbang dan membentangkan RUU reformasi perolehan dan anti rasuah  nasional.

Tambahnya, suruhanjaya amanah digital dan keselamatan siber yang bebas dan bertanggungjawab kepada Parlimen juga perlu ditubuhkan.

“Menyatukan semua program bantuan sosial di bawah satu sistem bersepadu berasaskan data yang menyeluruh dan merombak semula hubungan Persekutuan dan megeri melalui formula baharu pembahagian hasil, kuasa tadbir urus dan pembangunan tempatan,” katanya.

Jelas GEM, rakyat Malaysia telah berkali-kali menyaksikan rancangan yang cantik di atas kertas tetapi gagal dilaksanakan.

“Peruntukan besar diumumkan, namun kehidupan rakyat tetap sukar. Sudah tiba masanya kita bersuara dengan berani, menolak retorik, dan menuntut pembaharuan yang nyata dan menyeluruh.

“Jika RMK13 tidak dikaji semula, ia akan menjadi satu lagi dokumen megah yang gagal dan mungkin RMK terakhir sebelum rakyat hilang keyakinan sepenuhnya terhadap sistem yang sedia ada.” Ujarnya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share