
KUALA LUMPUR, 14 Ogos 25 — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dicabar mengemukakan sepenuhnya dokumen petisyen pengampunan dirajanya dalam tempoh 24 jam.
Bekas menteri P Waytha Moorthy mencabar Perdana Menteri Anwar Ibrahim supaya mendedahkan sepenuhnya
Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) P Waytha Moorthy juga menuntut ketelusan penuh berhubung petisyen Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong yang membawa kepada pembebasannya dari penjara pada 16 Mei 2018.
Bekas menteri itu berkata, hanya dengan pendedahan itu membolehkan rakyat Malaysia mengetahui dengan tepat apa yang dimohon perdana menteri ketika ini daripada Agong.
“Hanya melalui pendedahan sedemikian rakyat Malaysia dapat mengetahui dengan tepat apa yang dimohon Anwar daripada Agong,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Waytha Moorthy, rekod rasmi menunjukkan Anwar mengemukakan tiga petisyen pengampunan berasingan dengan dua yang pertama dihantar pada 16 Mac 2015 dan 27 Feb 2017 ditolak oleh Agong.
Manakala petisyen ketiga, yang dihantar pada 16 Mei 2018, diluluskan.
Beliau berkata dokumen itu akan membuktikan sama ada Anwar memohon semata-mata untuk pengampunan di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan atau turut memohon pembatalan kehilangan kelayakan untuk bertanding pilihan raya di bawah Perkara 48(3) Perlembagaan.
Tambahnya, secara tradisinya, seorang banduan yang memohon pengampunan diraja terlebih dahulu mengakui kesalahan, menunjukkan rasa kesal yang mendalam, dan menyerahkan dirinya sepenuhnya kepada belas ihsan Agong.
“Adakah Anwar melakukan perkara ini? Rakyat Malaysia berhak tahu,” kata Waytha Moorthy. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.