
KUALA LUMPUR, 30 DIS 25 — Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin memutuskan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026, menurut satu kenyataan ringkas yang dikongsikan kepada ahli Parlimen gabungan itu.
Dalam kenyataan berkenaan, Muhyiddin memaklumkan bahawa surat rasmi peletakan jawatan akan disusuli dalam tempoh terdekat, sambil merakamkan penghargaan kepada seluruh kepimpinan PN atas sokongan yang diberikan sepanjang hampir 10 tahun beliau memimpin gabungan tersebut.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberi sepenuh sokongan kepada saya selama saya memimpin PN hampir 10 tahun,” katanya.
Keputusan itu turut disahkan oleh Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, yang memaklumkan bahawa Muhyiddin sendiri mengesahkan perkara berkenaan dalam kumpulan WhatsApp Ahli Parlimen PN.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal, keputusan itu dibuat sebagai respon kepada desakan Datuk Wan Saiful Wan Jan, Ahli Parlimen Tasek Gelogor yang menggesa Presiden BERSATU itu bertanggungjawab atas kemelut politik di Perlis.
Terdahulu, Wan Saiful yang juga mantan Ketua Bahagian BERSATU Bangi secara terbuka menggesa Muhyiddin meletakkan jawatan atas kelemahan kepimpinan yang menyaksikan hubungan dengan PAS semakin tegang.
Atas desakan dan tekanan berterusan, akhirnya Muhyiddin mengambil keputusan berundur sebagai Pengerusi PN sekaligus pelan peralihan kuasa dalam BERSATU mungkin akan berlaku dalam waktu terdekat.
Pengumuman ini dijangka mencetuskan perkembangan baharu dalam landskap politik pembangkang, termasuk perbincangan mengenai pelan peralihan kepimpinan dan hala tuju PN menjelang tempoh pasca-2025. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.