Serangan Terhadap Anak Rafizi Landskap Gelap Politik Tanah Air, Kata PN

KUALA LUMPUR, 14 Ogos 25 — Serangan terhadap anak lelaki bekas menteri ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli adalah landskap gelap politik tanah air, sekiranya bermotifkan ancaman di atas kelantangan bekas timbalan presiden PKR itu bersuara.

Ketua Whip Perikatan Nasional (PN) Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, PN turut mengecam sekeras-kerasnya serangan terhadap anak Ahli Parlimen Pandan, yang berusia 12 tahun itu di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam.

“Jika benar telahan ini, ia menandakan satu perkembangan politik samseng yang amat tidak sihat dan berbahaya kepada landskap demokrasi negara.

“Perbezaan pandangan politik tidak seharusnya diterjemahkan kepada ancaman dan keganasan fizikal, apatah lagi apabila ia melibatkan kanak-kanak,” kata Takiyuddin dalam kenyataan.

PN juga katanya menzahirkan sokongan moral sepenuhnya kepada Rafizi dan keluarganya dalam menghadapi saat sukar ini.

“Kami juga mendoakan agar anak beliau berada dalam keadaan baik dan pulih sepenuhnya daripada sebarang kesan dan trauma tersebut. Mudah-mudahan seluruh keluarga beliau diberikan ketabahan serta perlindungan oleh Allah,” katanya.

Dalam sidang media di Parlimen hari ini, Rafizi turut mendedahkan isterinya menerima mesej ugutan yang antara lain anak mereka akan dijangkiti dengan jangkitan Aids.

“Mesej itu berbunyi ‘diam, jika teruskan, Aids’,” kata Rafizi, menambah mesej berkenaan disertakan emoji picagari. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share