Waytha Moorthy Dakwa Peguam Negara ‘Urus’ Persepsi Buruk Terhadap PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos 25 — Peguam P Waytha Moorthy mendakwa Jabatan Peguam Negara (AGC) sedang menguruskan persepsi buruk Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim susulan saman pemula difailkannya.

Presiden Parti Kemajuan Malaysia (MAP) itu mendakwa, tindakan itu melemahkan kedaulatan undang-undang yang sepatutnya dilindungi AGC.

“Peguam Negara, yang telah mengangkat sumpah sebagai penjaga Perlembagaan Persekutuan, jelas sedang ‘menguruskan’ persepsi buruk terhadap pelantikan tidak sah perdana menteri dengan penyelewengan undang-undang secara terbuka.

“Ini bukan sahaja cuai; ia melemahkan kedaulatan undang-undang yang sepatutnya beliau lindungi. Dari mana datangnya logik ini — jika bukan daripada tuan politik beliau sendiri?” dakwanya.

Rakyat Malaysia katanya berhak mendapat kebenaran, bukan fiksyen undang-undang yang diselubungi sebagai autoriti.

Tambahnya, tindakan AGC itu ia adalah satu cubaan terang-terangan untuk mengelirukan rakyat Malaysia dan menghina kecerdasan mereka.

“Di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan, pengampunan yang diberikan kepada Anwar adalah satu tindakan belas kasihan oleh Yang di-Pertuan Agong, ia tidak mengubah sejarah kesalahan dan memadamkan sabitan terhadap Anwar.

“Kesalahan tetap kesalahan walau siapa pun…cubaan Peguam Negara untuk memesongkan fakta undang-undang ini merupakan satu pelanggaran kepercayaan awam yang jelas serta satu pengabaian terhadap Perlembagaan.

“Tindakan saman saya jelas tidak mencabar pengampunan itu sendiri, tetapi realiti Perlembagaan: Perkara 48(1)(e), dibaca bersama Perkara 48(3), mengenakan kehilangan kelayakan selama lima tahun daripada bertanding dalam pilihan raya umum bermula 16 Mei 2018,” katanya.

Selain itu, bekas menteri itu mendakwa tiada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan pemadaman sabitan setelah seseorang disabitkan bersalah oleh mahkamah tertinggi di negara ini.

Jelasnya, sabitan kekal dalam rekod kecuali mahkamah sendiri memadamkannya.

“Tindakan saman sivil saya terhadap Anwar tidak mencabar pengampunan; ia menyentuh akibat perlembagaan yang jelas daripada sabitan itu.”

AGC sebelum ini menegaskan pengampunan penuh yang diberikan kepada Anwar oleh Yang di-Pertuan Agong ke-15 telah membatalkan sabitan serta hukuman.

Ia sekali gus menjadikan beliau sebagai individu yang dianggap tidak pernah melakukan sebarang kesalahan.

Sehubungan itu perintah pengampunan  turut menafikan sebarang isu berkaitan kehilangan kelayakan Anwar sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Perdana Menteri. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share