Beri Kontrak Kepada Mereka Yang Faham Apa Itu ‘Haji’, Kata Hamzah

KUALA LUMPUR, 21 Ogos 25 — Perikatan Nasional (PN) tidak mempersoalkan keperluan penjenamaan semula Tabung Haji (TH) sebaliknya menegaskan syarikat yang diberi keutamaan untuk tugas berkenaan harus faham prinsip Rukun Islam ke-5 itu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pihak yang tidak pernah melaksanakan ibadah itu sudah pasti tidak memahami prinsip rukun Islam tersebut.

“Kita tak persoal nak bagi kepada siapa, carilah syarikat yang faham prinsip Islam. Tak boleh ambil syarikat yang tak pernah pergi haji kemudian nak ‘rebranding’ TH.

“Sebab itu apa kita nak jelas, bukan kita tak nak, ‘rebranding’ okay tapi lantiklah mereka yang tahu kedudukan orang nak pergi haji,” katanya, ketika sidang media di Parlimen hari ini.

Hamzah berkata, bukan isu perkauman yang dibangkitkan PN namun kefahaman berkenaan pelaksanaan ibadah itu memudahkan urusan penjenamaan semula TH.

“Kalau pun dia bukan Melayu, tapi Islam teruskan. Saya persoalkan nak bagi ini biarlah dia kena tahu prinsip Islam. Kena tahu itu dulu. Baru dia boleh cakap tentang keseluruhan TH.

“Komunikasi nak buat untuk siapa, TH untuk orang Islam. Kalau dia jumpa (pendeposit) bila orang persoal dia boleh jawab ke.

“Kepercayaan kita mereka ini tak tahu apa itu sebenarnya (ibadah haji), dia belum pergi haji,” kata Hamzah.

Beliau mengulas isu membabitkan kontrak penjenamaan semula TH dilaporkan melibatkan syarikat-syarikat bukan Islam menimbulkan tanda tanya besar.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebelum ini dilapor berkata, syarikat dilantik merupakan gabungan konsortium terdiri daripada empat syarikat tempatan berpandukan kepakaran dan kebolehan selari dengan keperluan kerja penjenamaan tersebut. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share