
KUALA LUMPUR, 9 Jul 25 – Bersatu Johor hari ini menyatakan sokongan penuh Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai presiden parti, disebalik cadangan beliau diangkat sebagai presiden pengasas dan mentor.
Ketua Bersatu Johor Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sokongan penuh juga diberikan agar ahli Parlimen Pagoh itu kekal sebagai pengerusi Perikatan Nasional (PN).
“Sebarang usaha untuk mengubah kepimpinan pada masa ini hanya akan melemahkan kesepaduan parti dan fokus perjuangan. Justeru, kami berdiri teguh di belakang Muhyiddin dan menyokong penuh agar beliau terus menerajui Bersatu dan PN.
“Kami percaya kesinambungan kepimpinan Muhyiddin adalah penting bagi menjamin kekuatan parti dan kelangsungan PN sebagai pilihan utama rakyat dalam pilihan raya akan datang,” katanya, dalam satu kenyataan.
Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini terbuka dengan cadangan agar jawatan pengerusi PN digilirkan antara komponen pembangkang itu.
Sahruddin berkata, Muhyiddin telah membuktikan kepimpinan yang berprinsip, cekal dan berwibawa dalam menghadapi pelbagai cabaran politik dan krisis negara, dalam tempoh 17 bulan pentadbiran PN termasuk mengemudi tampuk pemerintahan negara ketika dilanda wabak Covid-19.
“Dalam era pemerintahan beliau sebagai perdana menteri, walaupun singkat, negara berjaya ditadbir dengan baik sewaktu pandemik Covid-19, termasuk program vaksinasi dan bantuan ekonomi rakyat,” katanya. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.