URA Ditangguh: PN Akan Terus Jadi Semak Imbang Kerajaan – Takiyuddin

KUALA LUMPUR, 29 Ogos 25 — Perikatan Nasional (PN) menyambut baik langkah menangguhkan pada separuh jalan Bacaan Kali Kedua Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 (URA) di Dewan Rakyat, semalam.

Ketua Whip PN Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia membuktikan usaha Gerakan Rakyat Menentang URA yang terdiri dari pertubuhan NGO dan masyarakat sivil, persatuan penduduk mahupun orang ramai menentang RUU itu berjaya.

“PN akan terus memainkan peranan sebagai semak dan imbang bagi memastikan kerajaan tidak menggunakan alasan “pembangunan” untuk mengorbankan kepentingan rakyat dan menjejaskan hak pemilikan tanah serta kediaman generasi asal bandar,” katanya, dalam satu kenyataan.

Keputusan itu juga katanya membuktikan bahawa suara rakyat, termasuk bantahan serius yang dibangkitkan oleh Ahli-Ahli Parlimen PN, telah membawa kesan serta diberi perhatian sewajarnya.

Selain itu kata Takiyuddin, PN berpandangan RUU tersebut dalam bentuk asalnya tidak mengambil kira kepentingan sewajarnya pemilik asal hartanah, khususnya masyarakat Melayu yang telah sekian lama menetap dan membina kehidupan di kawasan bandar.

“Cadangan ambang persetujuan yang rendah serta kaedah pelaksanaan yang kabur menimbulkan risiko besar terhadap hak pemilikan, kestabilan komuniti setempat, dan kesinambungan demografi bandar,” katanya.

Tegas Takiyuddin, PN juga menegaskan  pembangunan semula bandar hanya boleh dilaksanakan sekiranya ia adil, telus dan menjaga kepentingan semua pihak, bukannya mengutamakan keuntungan segelintir pihak berkepentingan semata-mata.

“Justeru PN akan terus memantau perkembangan ini dan bersedia mengemukakan cadangan yang lebih baik demi memastikan dasar pembangunan bandar di Malaysia benar-benar berpaksikan rakyat,” kata Takiyuddin yang juga Setiausaha Agung PAS. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share