
IPOH | 16 Jun 26 — Parti Wawasan Negara (WAWASAN) kini dilihat mula mengatur langkah awal untuk menembusi kubu politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Sekretariat Gerakan RESET mengumumkan hasrat menubuhkan jentera parti itu di Parlimen Tambun menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Sekretariat Gerakan RESET, Muhammad Fadhli Ismail berkata, beliau bersedia memikul tanggungjawab membangunkan kekuatan WAWASAN di Tambun dengan sokongan bakal Presiden parti itu, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Dengan dukungan bakal Presiden WAWASAN, Datuk Seri Hamzah Zainudin, saya akan mengambil tanggungjawab untuk menubuhkan jentera WAWASAN di Tambun sebagai persediaan menghadapi PRU16 sekiranya itu menjadi medan perjuangan yang dipilih,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, Tambun perlu dilihat sebagai antara medan strategik bagi membawa agenda perubahan politik serta mencabar dominasi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang.
Katanya, pertarungan sebenar pembangkang adalah terhadap kerajaan yang sedang memerintah dan bukannya sesama parti yang berkongsi hasrat membawa perubahan kepada negara.
Kenyataan itu dibuat ketika landskap politik pembangkang terus hangat susulan penubuhan WAWASAN yang dirasmikan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Dalam kenyataannya, Fadhli turut mengucapkan tahniah kepada Hamzah atas penubuhan parti baharu tersebut dan menyifatkannya sebagai perkembangan politik yang wajar dinilai secara positif dalam kerangka demokrasi.
Beliau berkata, kemunculan WAWASAN tidak seharusnya dianggap sebagai ancaman atau sekadar parti serpihan, sebaliknya perlu dilihat sebagai wadah baharu yang lahir daripada perbezaan pandangan, aspirasi dan hala tuju perjuangan politik.
Pada masa sama, beliau melahirkan rasa kesal terhadap tindakan segelintir penyokong dan cybertrooper BERSATU yang didakwa menyerang PAS serta beberapa pimpinan tertentu selepas pelancaran WAWASAN.
Menurutnya, tenaga politik pembangkang sepatutnya digerakkan untuk menilai kelemahan kerajaan pimpinan Anwar dan membina keyakinan rakyat terhadap alternatif baharu, bukannya dihabiskan dengan pertelagahan dalaman.
“Tambun perlu dilihat sebagai salah satu medan penting dalam usaha membawa suara perubahan dan mencabar dominasi Pakatan Harapan pada pilihan raya akan datang.
“Perbezaan pandangan sesama pihak pembangkang tidak seharusnya menyebabkan kita hilang fokus terhadap matlamat yang lebih besar. Sebarang konflik dalaman hanya akan memberikan keuntungan kepada pihak lawan,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak yang membawa agenda perubahan supaya kembali memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh suara rakyat, memperkasakan perpaduan ummah dan membina kekuatan politik yang mampu menawarkan hala tuju baharu kepada negara. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.