RESET Mampu Jadi Alternatif Baharu Kepada Kerajaan – Penganalisis

KUALA LUMPUR | 16 Jun 26 — Gerakan RESET berpotensi muncul sebagai alternatif baharu kepada pemerintahan sedia ada sekiranya agenda pembaharuan yang dibawanya berjaya diterjemahkan kepada dasar dan program yang memberi manfaat kepada rakyat, kata penganalisis politik Prof. Madya Dr. Mazlan Ali.

Menurut beliau, gerakan tersebut membawa aspirasi perubahan terhadap institusi negara merangkumi aspek politik, sosial dan ekonomi, selaras dengan semangat pembaharuan yang diperlukan dalam sebuah negara demokrasi.

“Saya melihat RESET sebagai satu inisiatif ahli politik yang mahukan perubahan kepada institusi sama ada dalam aspek politik, sosial dan ekonomi.

“Pada pemahaman saya, RESET adalah satu iltizam untuk memperbaiki daripada satu keadaan kepada satu keadaan yang lebih baik,” katanya dalam satu hantaran video oleh RESET Malaysia, di facebook.

Mazlan berkata, dalam konteks politik, agenda RESET boleh memainkan peranan penting dalam usaha menambah baik sistem pemerintahan dan tadbir urus negara.

Beliau menyifatkan gerakan itu sebagai sesuatu yang produktif dan sesuai diketengahkan dalam landskap politik negara yang mengamalkan sistem demokrasi terbuka.

“Secara jujurnya saya melihat gerakan RESET ini sebagai sesuatu yang sangat produktif dan sangat sesuai dalam konteks gerakan politik.

“Sebagai sebuah negara yang mengamalkan demokrasi dan bersifat terbuka, RESET adalah satu agenda yang boleh diketengahkan sebagai alternatif kepada pemerintahan sedia ada,” katanya.

Menurut beliau, kewujudan gerakan seperti RESET mampu memperkayakan wacana politik negara dengan menawarkan pendekatan dan idea baharu kepada rakyat.

Katanya, inisiatif berkenaan juga berpotensi menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar sekiranya cadangan dan gagasan yang dibawa dapat diterjemahkan dalam bentuk dasar yang praktikal.

“Gerakan seperti ini sebenarnya boleh menjadi satu perkara yang akan mengubah negara dan sudah pasti rakyat secara tidak langsung akan mendapat manfaat daripada pelaksanaannya.

“Ia mungkin boleh diterjemahkan dalam bentuk polisi, program dan dasar-dasar yang menyeluruh dalam semua aspek, khususnya yang mempunyai kepentingan kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Tambah beliau, sebarang usaha pembaharuan yang berasaskan idea, dasar dan penyelesaian kepada masalah rakyat wajar diberikan perhatian kerana ia mampu menyumbang kepada pengukuhan sistem demokrasi serta pembangunan negara secara lebih menyeluruh.

Gerakan RESET sebelum ini diketengahkan sebagai platform yang membawa agenda pembaharuan institusi dan Konsensus Nasional Baharu, dengan fokus kepada usaha memperkukuhkan tadbir urus, perpaduan nasional serta pembangunan negara yang lebih mampan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share