
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 25 — Pilihan rawatan menggunakan program Rakan KKM umpama membenarkan amalan memotong giliran golongan berada untuk mendapatkan rawatan kesihatan di fasiliti milik Kementerian Kesihatan (KKM), dakwa Gerakan.
Presidennya Datuk Dr Dominic Lau mendakwa, program Rakan KKM tidak seharusnya menindas rakyat biasa dengan mengutamakan rawatan berdasarkan tahap penyakit.
“Sistem kesihatan awam sepatutnya berpegang pada prinsip memberi keutamaan rawatan berdasarkan tahap keseriusan penyakit.
“Kini, ia berubah menjadi sistem dua peringkat siapa ada duit, dia yang lebih dahulu naik ke meja pembedahan,” katanya, dalam satu kenyataan.
Program itu juga katanya memaksa masa dan tenaga petugas perubatan awam pula dialihkan untuk merawat pesakit berbayar, manakala pesakit biasa terpaksa menunggu lebih lama.
Lau mendakwa, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, yang sehingga kini bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah masa menunggu pesakit, malah menggunakan “Rakan KKM” sebagai alasan untuk menutup kelemahan.
“Mengapa jika pesakit ada wang, mereka boleh menjalani pembedahan di hospital kerajaan dalam masa yang singkat? Adakah Rakan KKM kini menjadi laluan khas berbayar di hospital kerajaan?” katanya.
Katanya, menteri sepatutnya mencari jalan untuk memendekkan masa menunggu pesakit yang memerlukan pembedahan penggantian lutut, bukannya menyuruh mereka membayar kos rawatan.
“Pesakit yang mampu membayar kepada syarikat Rakan KKM boleh memotong giliran.
“Pembedahan tetap dilakukan di hospital awam, menggunakan kemudahan awam, oleh doktor dan jururawat yang sama.
“Pesakit yang tidak mampu membayar pula terpaksa menunggu lebih lama,” kata Lau lagi.
Lau khuatir, Rakan KKM bakal mengulangi kesilapan program “Full Paying Patient” (FPP) yang pernah dilaksanakan sebelum ini.
Menurutnya, dalam program tersebut, bukan semua doktor pakar mendapat peluang yang sama di bawah skim itu, menyebabkan masih wujud kelemahan yang perlu diperbaiki.
“Setakat yang saya faham, hanya doktor pakar paling berpengalaman berpeluang menjadi doktor utama yang ditentukan untuk pesakit berbayar.
“Doktor ini biasanya memegang jawatan pengurusan tertinggi di jabatan hospital masing-masing. Akhirnya, keadaan ini tetap tidak mampu menghalang doktor pakar muda daripada meninggalkan perkhidmatan,” katanya lagi.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini menafikan Rakan KKM satu bentuk penswastaan, sebaliknya merupakan usaha transformasi untuk memperbaiki akses terhadap prosedur perubatan elektif kemudahan kesihatan awam.
Melalui inisiatif Rakan KKM, kementerian katanya dapat memanfaatkan kepakaran sedia ada serta kapasiti dalam kemudahan kesihatan awam untuk menawarkan pilihan kepada pesakit bagi mendapatkan rawatan elektif dengan lebih cepat melalui inisiatif ini. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.