BERSATU Berazam Angkat Agenda Konsensus Nasional Pada PAT Ke-8

KUALA LUMPUR, 5 Sep 25 – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) ke-8 pada 6 dan 7 September ini di Shah Alam dengan fokus utama merangka “tawaran segar” untuk rakyat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU, Datuk Seri Saifuddin Abdullah, berkata perhimpunan kali ini amat signifikan kerana parti perlu bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi, selain kemungkinan pilihan raya di Sarawak, Melaka dan Johor.

Beliau menegaskan, meskipun BERSATU masih muda, parti itu sudah mencapai kejayaan besar termasuk melahirkan dua perdana menteri serta menguruskan pandemik Covid-19 dengan pengiktirafan dunia. Namun, menurutnya, parti tidak boleh sekadar bergantung kepada pencapaian lampau atau sokongan berasaskan kemarahan rakyat terhadap lawan politik.

“Tentulah lebih baik untuk kita menjadi parti yang disokong rakyat kerana mereka menyukai kita, bukannya kerana marah kepada lawan,” katanya dalam kenyataan.

Saifuddin menekankan keperluan membina Konsensus Nasional Baru sebagai sebahagian daripada reset politik, dengan mengambil iktibar daripada pendekatan menangani peristiwa 13 Mei.

Konsensus itu, katanya, bertujuan memulihkan keyakinan antara kaum, agama, negeri dan wilayah, selain melibatkan Raja-Raja Melayu, parti komponen Perikatan Nasional, NGO, profesional dan akademia.

“Antara agenda yang diketengahkan termasuk pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kesepaduan sosial, pendidikan berkualiti, peluang pekerjaan baharu, serta jaminan kesihatan dan kebajikan rakyat. Ujarnya.

Bagi memastikan gagasan politik dapat direalisasikan, Saifuddin berkata ia perlu disokong oleh ekonomi yang makmur melalui pembetulan struktur dan penciptaan kekayaan baharu.

Tambah beliau lagi, selain membetulkan ketidaksamaan dalam pendidikan, pendapatan dan dasar fiskal, BERSATU juga mahu memanfaatkan sumber nadir bumi (REE) sebagai pemacu baharu ekonomi negara.

“Kalau dulu petroleum melahirkan PETRONAS, maka kini sudah sampai masanya kita tubuhkan REE National Corporation Berhad (REE-NAS) sebagai peneraju kekayaan baharu,” katanya.

Dengan dua tonggak utama – gagasan politik berteraskan konsensus nasional dan gagasan ekonomi berasaskan pertumbuhan baharu – PAT kali ini dilihat sebagai medan penting bagi BERSATU menzahirkan strategi jangka panjang dan tawaran segar kepada rakyat menjelang pilihan raya akan datang. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share