
KUALA LUMPUR, 8 Sep 25 – Penganalisis politik Prof Dr Sivamurugan Pandian berpendapat penetapan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri (PM) oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) merupakan keputusan rasmi Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) parti itu, namun tidak menutup ruang bagi PAS menamakan calon pilihan mereka sendiri.
Menurutnya, PAS berpeluang mengumumkan calon PM semasa muktamar parti tersebut, sebelum persetujuan bersama dicapai di peringkat Perikatan Nasional (PN).
“Penetapan TSMY sebagai calon PM Bersatu adalah berdasarkan kepada ketetapan PAT. Bila mana PAS mengadakan muktamarnya, barangkali ada penetapan calon PM dari PAS,” katanya.
Tambah beliau, selepas setiap parti dalam PN mempunyai calon masing-masing, perbincangan bersama boleh diadakan bagi menentukan kesepakatan, sama ada memilih calon yang diputuskan PAT atau muktamar, atau mencari alternatif lain.
“Selepas masing-masing ada calonnya, persetujuan bersama boleh dibuat selepas perbincangan di peringkat PN, yang sama ada memilih dari pilihan PAT dan muktamar atau ada calon ketiga jika kedua-dua calon tidak mendapat sokongan majoriti,” jelasnya.
Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu hari ini meluluskan usul menamakan Muhyiddin Yassin sebagai calon Perdana Menteri ke-11 dari parti itu.
Muhyiddin pernah menyandang jawatan sebagai Perdana Menteri kelapan Malaysia, bermula pada 1 Mac 2020 selepas kejatuhan kerajaan PH susulan peristiwa ‘Langkah Sheraton’. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.