
KUALA LUMPUR, 19 Sept – Penduduk Kampung Sungai Baru mempertikaikan peranan Perbadanan Kampung Bharu (PKB) dalam isu pembangunan semula kawasan mereka, dengan mendakwa badan itu “masuk campur” walaupun ia bukan sebahagian daripada Kampung Baru.
Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru dalam kenyataan berkata, tindakan PKB bertentangan dengan peranan asalnya di bawah Akta 733 yang hanya menetapkan agensi itu sebagai fasilitator, bukannya pihak pelaksana atau pengambil keputusan.
Penasihat jawatankuasa, Muzaffar Razman, bersama Pengerusi Zainab Alias dan Setiausaha Shamsuri Suradi mengumumkan peletakan jawatan susulan rasa tidak puas hati terhadap perkembangan tersebut.
Mereka turut mendakwa Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, memihak kepada pemaju apabila kenyataannya menggesa penduduk berbincang terus dengan pemaju, bukannya kerajaan.
“Beliau seperti alat pemaju,” kata seorang wakil penduduk.
PKB dalam maklum balasnya memaklumkan seramai 236 daripada 328 pemilik rumah telah bersetuju dengan pelan pembangunan semula itu, manakala pampasan berjumlah RM62 juta sudah dibayar.
Bagaimanapun, jawatankuasa turut menzahirkan penghargaan atas keprihatinan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, terhadap nasib penduduk.
Isu pembangunan semula Kampung Sungai Baru ini berlarutan sejak beberapa tahun lalu, dengan sebahagian penduduk mendakwa nilai pampasan tidak sepadan, selain bimbang akan kehilangan tempat tinggal dan identiti kawasan bersejarah tersebut. @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.