Dr Mazlan: PAS Kekal Tonggak Utama Pembangkang, RESET Isi Kekosongan BERSATU

KUALA LUMPUR | 10 Jun 26 — PAS dijangka terus menjadi kekuatan utama blok pembangkang meskipun hubungan politiknya dengan BERSATU berakhir, kata penganalisis politik Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Madya Dr Mazlan Ali.

Menurut beliau, perkembangan terbaharu itu sebenarnya tidak mengejutkan memandangkan hubungan antara PAS dan BERSATU dilihat semakin renggang sejak lebih setahun lalu susulan beberapa perbezaan pendirian dalam isu-isu penting melibatkan hala tuju Perikatan Nasional (PN).

Beliau berkata, perbezaan pandangan berhubung calon Perdana Menteri, isu politik di Sabah, dakwaan berkaitan dana pilihan raya serta beberapa perkembangan politik negeri telah memperlihatkan ketidaksefahaman yang semakin ketara antara kedua-dua parti.

“Hubungan PAS dan BERSATU kebelakangan ini memang menunjukkan tanda-tanda ketidaksepadanan dari segi pendirian dan pendekatan politik,” katanya.

Mengulas mengenai landskap politik pasca perpisahan itu, Dr Mazlan berpandangan PAS dijangka menjadikan Datuk Seri Hamzah Zainuddin dan Gerakan RESET sebagai rakan strategik utama dalam membentuk jajaran baharu pembangkang.

Menurut beliau, kekuatan PAS selama ini terletak pada jentera parti yang tersusun serta pengaruhnya yang kukuh di negeri-negeri Pantai Timur dan utara Semenanjung.

“Kekuatan utama PN sejak beberapa pilihan raya lalu banyak disumbangkan oleh PAS. Parti itu mempunyai jentera akar umbi yang besar dan penyokong yang setia,” katanya.

Beliau menjangkakan kemunculan RESET di bawah pimpinan Hamzah mampu mengisi ruang politik yang sebelum ini dimainkan oleh BERSATU, khususnya di kawasan-kawasan yang pernah menjadi medan persaingan parti itu.

Malah, beliau melihat kerusi-kerusi yang sebelum ini ditandingi BERSATU berpotensi menjadi medan kepada RESET dalam pilihan raya akan datang.

Dalam masa sama, Dr Mazlan turut berpandangan PAS berkemungkinan meneruskan usaha membina kerjasama politik yang lebih luas, termasuk membuka ruang persefahaman dengan parti-parti lain bagi memperkukuhkan blok pembangkang.

Katanya, walaupun usaha tersebut bukan sesuatu yang mudah, perkembangan semasa menunjukkan PAS berada pada kedudukan yang lebih strategik untuk memimpin proses penjajaran semula politik pembangkang.

“Daripada sudut kekuatan organisasi dan pengaruh pengundi, PAS dilihat masih mempunyai kelebihan yang signifikan. Dengan kemunculan RESET, landskap baharu pembangkang berpotensi memberi ruang yang lebih besar kepada PAS dan Hamzah untuk memainkan peranan utama pada masa depan,” katanya. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share