
JOHOR BAHRU | 10 Jun 26 – Pejuang Johor memberi isyarat bahawa parti itu lebih cenderung kepada pembentukan kerjasama dalam kalangan parti pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding menyertai pertandingan secara bersendirian yang berisiko memecahkan undi rakyat.
Ketua Negeri Pejuang Johor, Nornekman Dato’ Osman menegaskan bahawa parti itu tidak akan menyertai PRN semata-mata untuk menambah jumlah calon atau mewujudkan pertandingan banyak penjuru yang akhirnya hanya menguntungkan pihak lawan.
“Pertandingan banyak penjuru tanpa kesepakatan yang jelas hanya akan melemahkan kekuatan pembangkang, mengurangkan keberkesanan suara rakyat serta menjejaskan peluang untuk membina kerajaan yang lebih bertanggungjawab dan berintegriti,” katanya dalam satu kenyataan media.
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa fokus perjuangan Pejuang kekal kepada isu-isu yang dekat dengan rakyat termasuk kos sara hidup, peluang pekerjaan, pengukuhan ekonomi rakyat serta usaha memperjuangkan tadbir urus yang bersih dan telus.
Kenyataan tersebut dilihat sebagai mesej terbuka selepas Presiden PAS mengumumkan kesediaan mereka untuk mewujudkan kerjasama pilihanraya (electoral pact) menjelang PRN dan PRU 16. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.