
KUALA LUMPUR, 23 Sep 25 — Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berikrar akan melantik seorang wakil rakyat Cina sebagai timbalan ketua menteri sekiranya gabungan itu kembali membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17 akan datang.
Katanya, langkah itu adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan komuniti tersebut dalam membangunkan ekonomi dan kemajuan negeri di bawah bayu itu.
“Sesungguhnya, kita mengiktiraf dan menghargai peranan serta sumbangan masyarakat Cina dalam masyarakat kita.
“Jika kerajaan ini sekali lagi diberi mandat, dan sekiranya ramai pemimpin Cina berjaya dipilih sebagai wakil rakyat, saya akan melantik salah seorang daripada mereka sebagai timbalan ketua menteri,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Hajiji hadir ke Malam Mesra bersama masyarakat Cina, sekolah mubaligh, sekolah persendirian Cina dan badan agama bukan Islam di Dewan Hakka di Kota Kinabalu, malam tadi.
“Tanpa sumbangan anda, ekonomi negeri tidak akan berkembang. Malah, sumbangan masyarakat Cina di Sabah merangkumi pelbagai bidang dan sektor.
“Dalam sektor swasta, peranan usahawan dan ahli perniagaan Cina berada di tahap tertinggi. Dalam konteks perkhidmatan awam negeri, ramai pegawai keturunan Cina memegang jawatan kanan di kementerian, jabatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC),” kata Hajiji lagi.
Timbalan ketua menteri negeri diwakili kaum Cina adalah amalan dan tradisi pentadbiran negeri itu sehingga GRS membentuk kerajaan negeri bersama Barisan Nasional (BN) pada 2020.
Namun tiada wakil rakyat Cina yang boleh dilantik sebagai timbalan ketua menteri waktu itu.
Jawatan itu kini disandang oleh Datuk Seri Jeffrey Kitingan (Presiden STAR), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili (Presiden PBS) dan Datuk Shahelmey Yahya (Umno). @sumber
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.