
KUALA LUMPUR, 24 Sep 25 – Sebanyak 37 keluarga setinggan di Jinjang Tambahan menarik nafas lega apabila arahan mengosongkan rumah yang didiami sejak lebih enam dekad ditangguhkan, sekali gus memberi ruang untuk mereka menyuarakan kebimbangan.
Aktivis Khidmat Komuniti Kepong, Yee Poh Ping berkata penangguhan itu penting kerana penduduk, kebanyakannya golongan B40, sebelum ini berdepan tekanan melalui proses mahkamah di bawah Order 89.
“Kami rasa ada ketidakadilan apabila penyewa hanya tiga tahun mampu gunakan proses mahkamah untuk mengusir keluar penduduk yang sudah berdekad tinggal di sini,” katanya pada sidang media di lokasi.
Penduduk berharap kerajaan, khususnya Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG), Ketua Setiausaha Negara (KSN) serta Menteri Sumber Asli, campur tangan bagi memutuskan perjanjian penyewaan berkenaan.
Mereka juga menegaskan tidak menuntut rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) kerana kebanyakan unit sudah penuh dan lokasi yang ada jauh dari kemudahan asas.
Sebaliknya, matlamat utama adalah mempertahankan hak kediaman di kawasan yang dihuni sejak puluhan tahun.
Isu pengusiran penduduk di ibu negara kembali menjadi perhatian selepas kes membabitkan Kampung Sungai Baru, yang menyaksikan pertikaian antara pemilik tanah, pemaju dan kerajaan berhubung pampasan serta proses perpindahan.
Di Kampung Sungai Baru, sebahagian penduduk menolak tawaran pampasan RM400 sekaki persegi yang ditetapkan, sementara ada yang mempertahankan projek pembangunan itu sebagai usaha sama telus antara pemilik tanah dan pemaju bagi mengembalikan komuniti selepas projek disiapkan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.