Keluar BN Tindakan Tepat, MIC-MCA Perlu Bersama Parti Melayu Kuat, Kata Pemerhati

KUALA LUMPUR, 24 Okt 25 – MCA dan MIC perlu meninggalkan Barisan Nasional (BN) selepas Umno bukan lagi parti Melayu dominan dalam arena politik tanah air, kata pemerhati.

Shahbudin Husin berkata, tempat Umno  kini sudah digantikan PAS dan Bersatu melalui gabungan Perikatan Nasional (PN) yang dibuktikan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu selepas mendapat sokongan kira-kira 70% kelompok pengundi Melayu.

“Hanya dengan disokong oleh PAS dan Bersatu sahajalah MIC mampu menang kembali banyak kerusi sebagaimana pernah dicapai ketika disokong oleh Umno yang kuat dahulu,” katanya, dalam hantaran Facebook.

Disebabkan tiada kawasan Parlimen didominasi kaum India, MIC perlu bersandar kepada parti politik Melayu yang kuat, kata Shahbudin.

Apabila Umno memberi sokongan kepada calon MIC yang hanya bertanding sejumlah kecil kerusi, sebagai balasannya, MIC pula akan menggerakkan pengundi India di semua kawasan yang Umno bertanding agar memberi sokongan kepada BN.

“Sebab itu, ketika Umno kuat dan beroleh banyak kemenangan, MIC juga mampu mendapat banyak kemenangan,” tambahnya.

Sehubungan itu katanya, dengan meninggalkan BN, MIC dan MCA akan beroleh kekuatan seperti sebelum ini.

Sementara itu, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran dilapor berkata parti itu belum membuat keputusan untuk meninggalkan BN, walaupun timbalannya Datuk Seri M Saravanan dilapor menyuarakan hasrat itu.

Katanya, Saravanan atau ahli parti  berhak untuk memberikan pandangan, namun keputusan mesti diputuskan secara konsensus dalam parti.

“Tetapi keputusan mutlak membabitkan hal seperti seperti hala tuju parti adalah keputusan sama. Jadi keputusan akhir sama ada mahu keluar BN atau tidak belum ditentukan,” katanya, seperti laporan Berita Harian.

Vigneswaran berkata demikian ketika diminta mengulas pendedahan bekas Ahli Majlis Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yang mendakwa kononnya MIC bakal keluar daripada BN, bulan depan. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share