
KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 – Veteran wartawan dan tokoh media, Datuk A. Kadir Jasin, menegaskan kenaikan harga runcit petrol dan diesel yang dirasai rakyat ketika ini berpunca daripada dasar Kerajaan Madani, bukannya faktor turun naik harga minyak mentah dunia.
Menurut beliau, langkah rasionalisasi subsidi bahan api yang diperkenalkan kerajaan telah menjadi punca utama peningkatan harga minyak sejak beberapa bulan lalu.
“Tidak ada siapa pun boleh menafikan harga runcit petrol dan diesel sedang meningkat. Bukan kerana harga minyak mentah di pasaran antarabangsa yang tidak menentu, tetapi kerana dasar Kerajaan Madani,” katanya dalam kenyataan di media sosial.
Kadir menjelaskan, bermula 10 Jun lalu, kerajaan menamatkan subsidi diesel di Semenanjung, menyebabkan harga runcit naik daripada RM2.15 seliter kepada RM3.35. Bagaimanapun, harga di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15.
Manakala mulai 30 September, melalui program Budi Madani, harga RON95 tanpa subsidi ditetapkan RM2.60 seliter, sementara harga bersubsidi kekal RM1.99 seliter.
Kadir turut membidas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang sebelum ini mendakwa Malaysia satu-satunya negara di dunia yang menurunkan harga petrol.
“Kerajaan, dulu dan sekarang, kerap bermain dengan perangkaan dan congakan untuk memberi gambaran harga minyak di Malaysia bukan saja antara paling murah di dunia, malah semakin turun,” ujarnya.
Beliau menambah, meskipun harga petrol Malaysia antara yang terendah, ia bukanlah yang termurah. Merujuk data Bank Dunia, beliau berkata Mesir menawarkan harga petrol regular sekitar 30 sen Amerika seliter, jauh lebih murah berbanding Malaysia yang berada sekitar 44 hingga 49 sen Amerika (kira-kira RM2.05 seliter).
“Hakikatnya, harga petrol dan diesel semakin mahal akibat dasar Kerajaan Madani yang mengurangkan subsidi sambil menyasarkan pelaksanaannya,” tegas Kadir.
Kenyataan beliau sekali gus memberi perspektif berbeza terhadap naratif rasmi kerajaan mengenai subsidi minyak, yang sering digambarkan sebagai usaha menjaga kebajikan rakyat. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.