Mukhriz Selar Anwar, Serang Anak-Anak Tun Mahathir

KUALA LUMPUR, 31 Jul 25 – Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyelar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana menggelar bapanya Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perasuah sedangkan perkara itu tidak berbangkit ketika mereka bekerjasama semasa kerajaan Pakatan Harapan 1.0 (PH1.0).

Malah, Mukhriz turut mempersoal segala tindakan PH yang bekerjasama dengan Dr Mahathir waktu itu sehingga membuahkan kejayaan.

“Selama 25 tahun, Anwar konsisten menuduh tanpa bukti, tapi partinya kalah dalam setiap pilihan raya.

“Hanya apabila Tun M dan Bersatu menyertai serta memimpin PH, Barisan Nasional—yang memerintah lebih 60 tahun—akhirnya tumbang.

“Adakah Anwar dan PH menolak kemenangan ini atas alasan prinsip, kononnya perjuangan mereka dikotori oleh Tun M yang didakwa korup? Tidak.

“Dan dalam segala yang Tun M lakukan untuk membantu Anwar dan PH, tidak sekali pun isu “Tun M perasuah” atau “menyalahguna kuasa untuk kayakan anak-anaknya” dibangkitkan,” kata Mukhriz dalam hantaran media sosialnya.

Mukhriz turut menyelar Anwar kerana menjadikan kekayaan anak-anak Dr Mahathir sebagai asas serangan terhadap negarawan itu selepas mengheret Tun Daim Zainuddin ke mahkamah dan cuba merampas hartanya walau dalam keadaan beliau sudah meninggal dunia.

“Ketika Anwar bertanding di Port Dickson, adakah dia menghalang Tun M dan Tun Daim berkempen untuknya kerana mereka korup? Tidak.

“Benar, sejak 1998 lagi Anwar menuduh Tun M rasuah, tapi tanpa bukti. Alasannya? “Kerajaan sembunyikan bukti.”  

“Tiba-tiba sekarang, tuduhan bertubi-tubi dilontarkan—kononnya semasa menjadi PM ke-4, Tun M menjadikan anak-anaknya bilionair. Di mana buktinya? Tiada. Anwar dan PH bukan lagi pembangkang. Anwar kini Perdana Menteri, PH dan BN pula kerajaan. Masih tiada bukti dibongkar?  Kerajaan Madani sembunyikan bukti?

“Jelas, bagi Anwar, bukti tidak penting. Yang penting ialah persepsi. Jadi, dia terus melemparkan tuduhan tanpa asas dalam ucapannya dan wawancara media, semata-mata untuk menjatuhkan maruah Tun Mahathir dan keluarganya,” tegas Mukhriz.

Sedangkan kaya Mukhriz segala tuduhan dilemparkan terhadap Dr Mahathir dilakukan Anwar ketika bergelar perdana menteri.

“Kalau Anwar betul serius memerangi rasuah, kenapa lantik Ahmad Zahid Hamidi sebagai TPM? Kalau dia melawan salah guna kuasa, kenapa Farhash dapat kontrak berbilion?

Kalau dia mendakwa tadbir urusnya terbaik, kenapa anaknya dilantik ke jawatan kerajaan?

“Cukup-cukuplah dengan taktik untuk alihkan perhatian Rakyat dari isu utama – iaitu keadaan ekonomi Rakyat yang semakin buruk dibawah pentadbiran kamu. Tak ada siapa percaya kamu lagi, Anwar. Turun saja,” kata Mukhriz. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share