
KUALA LUMPUR, 2 Okt 25 – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Gabungan Nasionalis (GN) membantah tindakan menahan aktivis Global Sumud Flotilla (GSF) oleh pihak berkuasa Israel malam tadi dan menggesa mereka dibebaskan segera.
Pengerusinya Aminuddin Yahaya berkata, penangkapan aktivis itu merupakan satu pencabulan hak asasi manusia, selain menghina semangat kemanusiaan antarabangsa yang memperjuangkan keamanan serta hak rakyat Palestin untuk hidup bebas daripada kezaliman genosid oleh Israel.
“Khabarnya 12 orang aktivis Malaysia yang ditahan tersebut tidak membawa sebarang ancaman ketenteraan, sebaliknya hanya membawa misi kemanusiaan untuk membantu rakyat Gaza yang sedang berdepan krisis kemanusiaan terburuk akibat serangan dan sekatan berterusan oleh rejim Israel.
“Penangkapan ini jelas membuktikan sikap angkuh Israel yang tidak menghormati langsung undang-undang antarabangsa serta resolusi-resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya, dalam satu kenyataan.
GN sehubungan itu menggesa campur tangan Wisma Putra bagi membolehkan pembebasan segera tanpa syarat terhadap aktivis Malaysia yang ditahan.
“Campur tangan segera kerajaan dan Wisma Putra serta sokongan padu masyarakat antarabangsa untuk mendesak pembebasan tersebut.
“Tekanan diplomatik dan undang-undang antarabangsa dikenakan terhadap Israel atas pelanggaran hak asasi ini,” katanya.
GN juga juga menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin, serta menolak sebarang bentuk normalisasi dengan rejim penjajah Israel. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.