Kenyataan Timb Menteri Berkaitan Pelan Damai Palestin Mengelirukan, Dakwa Bersatu

KUALA LUMPUR, 6 Okt 25 — Kenyataan Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin di Dewan Rakyat yang mendakwa Hamas telah menerima sepenuhnya pelan damai yang dikemukakan oleh bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump disifatkan sebagai tidak tepat dan mengelirukan.

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa kenyataan itu bukan sahaja menyeleweng daripada fakta sebenar malah boleh menimbulkan kekeliruan terhadap pendirian perjuangan Palestin.

Hamas katanya tidak menerima pelan damai Trump secara keseluruhan seperti yang didakwa sebaliknya hanya bersetuju dengan beberapa perkara yang berkaitan kemanusiaan dan keselamatan di Gaza.

“Fakta sebenar ialah Hamas hanya menerima kira-kira sembilan daripada 20 tuntutan yang digariskan dalam pelan tersebut. Antara yang dipersetujui termasuk pertukaran banduan, pengunduran tentera Zionis dari Gaza serta kemasukan bantuan kemanusiaan tanpa syarat.

“Namun isu pentadbiran Gaza dan pembubaran sayap ketenteraan Hamas, mereka tolak sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Parlimen.

Tambahnya, dakwaan Mohamad Alamin bercanggah dengan kenyataan rasmi Hamas yang kini masih berunding dengan Israel di Mesir.

Susulan itu, beliau berkata, Perikatan Nasional (PN) akan merujuk Timbalan Menteri Luar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan dengan fakta tidak tepat.

“Saya tak kisah kalau beliau tuduh saya lebih Hamas daripada Hamas tetapi yang lebih penting, rakyat Malaysia perlu tahu bahawa kenyataan Timbalan Menteri Luar itu tidak benar,” katanya.

“Kami akan buat rujukan rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana beliau telah mengeluarkan kenyataan palsu berhubung pendirian Hamas terhadap pelan damai Trump,” tambahnya lagi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share