
KUALA LUMPUR, 30 Jun 25 – Ahli Parlimen Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menempelak seruan Perdana Menteri yang meminta penjawat awam mempertahankan projek pembangunan Kota Madani.
Menurut Wan Fayhsal, projek tersebut bukan kemajuan sebaliknya satu simbol keangkuhan dan pembaziran yang berselindung di balik retorik Madani.
“Jika anda benar-benar sayangkan Malaysia, bangkit, dan tolak pengkhianatan ini. Kota Madani bukan lambang kemajuan, ia adalah simbol keangkuhan seorang pemimpin yang lupa daratan,” katanya.
“Di saat hospital kehabisan ubat, sekolah daif menanti roboh, dan harga barang makin menggila, Anwar memilih untuk menabur berbilion ringgit ke atas sebuah monumen ego yang langsung tidak memberi manfaat nyata kepada rakyat marhaen.
“Ini bukan pembangunan, ini bukan kemajuan, ini adalah pembaziran berselindung di sebalik retorik Madani yang sudah hilang makna,” kata Wan Ahmad Fayhsal.
Sehubungan itu katanya, sudah tiba masanya rakyat dan penjawat awam membuka mata terhadap helah licik kerajaan hari ini yang semakin terpisah dari realiti rakyat.
“Seruan perdana menteri agar penjawat awam mempertahankan projek Kota Madani bukan sahaja dangkal, malah melambangkan tahap kebongkakan dan penyelewengan keutamaan yang melampau,” tegasnya lagi.
Ahli Parlimen Machang itu juga menggesa agar penjawat awam sedar bahawa seruan tersebut bukan untuk mempertahankan negara, sebaliknya ia isyarat untuk menjadikan mereka perisai politik.
Terdahulu, Perdan Menteri meminta penjawat awam mempertahankan inisiatif Kota Madani yang dirangka kerajaan demi kebajikan mereka dengan penyediaan 10,000 unit kuarters moden, susulan wujudnya suara-suara sumbang yang mempertikai pembangunan tersebut.
Anwar Ibrahim berkata, projek berimpak tinggi itu merupakan antara usaha strategik kerajaan untuk menyediakan perumahan berkualiti kepada penjawat awam tanpa membebankan kewangan negara.
Dalam kenyataan yang sama wakil rakyat Bersatu itu mendakwa, kota berkeluasan 41.28 hektar yang akan di bina Presint 19 dan menelan belanja sekitar RM4 bilion merupakan simbol keangkuhan pentadbiran kerajaan. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.