Misi ‘Kesum’, Eksperimen Bina Model Perniagaan Sosial Yang Mampan – Rafizi

KUALA LUMPUR, 16 NOV 25 — Mantan Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, menjelaskan bahawa projek kedai makanan sosial Kesum yang menawarkan hidangan pada harga RM5 bukan sekadar inisiatif perniagaan, tetapi sebuah eksperimen ekonomi untuk membuktikan bahawa model perniagaan berimpak sosial mampu berfungsi tanpa sokongan bank atau kerajaan.

Dalam kenyataan terbaharu, Rafizi mengakui dua minggu pertama operasi Kesum merupakan tempoh mencabar, termasuk kekurangan tidur kerana memantau prestasi dan operasi harian kedai itu.

Menurutnya, cabaran terbesar bukan pada menetapkan harga RM5, tetapi memastikan sistem operasi yang efisien supaya perniagaan berasaskan margin yang sangat rendah itu tetap bertahan.

“Hidangan kena siap dalam 5 minit. Krew tak boleh lebih tiga orang atau setiap hidangan mula rugi,” katanya sambil menekankan bahawa dapur Kesum disusun seperti ‘production line’ untuk fryer, plating dan penyediaan bahan mentah.

Beliau menegaskan keputusan itu bukan kerana mahu menjimatkan tenaga kerja atau cuba menunjukkan kehebatan pengurusan, sebaliknya ia sebahagian daripada proses menguji model perniagaan sosial berasaskan volume jualan, kos rendah dan operasi minimum.

Rafizi menjelaskan terdapat tiga persoalan penting yang cuba dijawab melalui eksperimen Kesum antaranya samada perniagaan sosial margin rendah tetapi jumlah jualan tinggi boleh bertahan?

Kedua, samada model modal yang lebih adil dibangunkan supaya lebih ramai anak muda mampu memulakan perniagaan tanpa kos permulaan tinggi dan ketiga, sekiranya terbukti model ini berfungsi, maka tidak ada alasan bank dan kerajaan untuk tidak menyokong usaha ini.

“Kalau orang biasa boleh jalankan model ini, tidak ada sebab sistem kewangan dan kerajaan tidak boleh sokong,” tegasnya.

Menyifatkan projek Kesum sebagai perjuangan “lebih besar daripada sepinggan nasi RM5”, Rafizi berharap masyarakat memahami matlamat jangka panjang usaha ini dalam mewujudkan ekosistem perniagaan kos rendah yang lebih inklusif. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share