Oleh : Khairuddin Abu Hassan

Tun Dr Mahathir Mohamad sudah meletakkan asas yang terbaik untuk menjayakan agenda ‘Payung Besar’ ke arah menyatupadukan keseluruhan orang Melayu melangkaui agenda kepentingan politik.
Agenda kepentingan politik peribadi harus diketepikan buat masa ini dan penyatuan Melayu mesti berlaku atas keikhlasan semua pihak untuk memperkasakan kedudukan Melayu serta Islam di tanahair kita.
Orang Melayu yang berparti mesti ketepikan kepentingan agenda politik peribadi tetapi meletakkan agenda Melayu dan syiar Islam di atas segalanya.
Saranan Tun Mahathir amat tepat di mana kita sukar untuk bersatu padu di bawah kerangka politik tetapi keistimewaan orang Melayu amat senang bersatu padu atas nama atau semangat Melayu.
Tidak ada ertinya kepada orang Melayu sekiranya kita ‘menang sorak kampung tergadai’ dan ‘menang jadi arang kalah jadi abu.’
Nasib Melayu kini dapatlah diibaratkan seperti ‘telur di hujung tanduk’ dan ‘retak menanti belah.’
Sekiranya orang Melayu terus berbalah kata Tun Mahathir dalam sepuluh tahun lagi bangsa Melayu kemungkinan besar akan hilang tanahair ini.
Saya agak lama bersama dengan perjuangan Tun Mahathir dan memerhati segala peri nasihatnya secara terperinci. Selalunya ramalan Tun Mahathir amat tepat serta pasti berlaku, cuma masa ketika saja yang bakal menentukannya.
Negarawan terulung ini bukan seorang ‘wali’ atau ‘ahli nujum’ tetapi kerana pengalaman politik beliau teramat luas serta berada di pesada politik tanahair dari tahun 1946 sudah pasti pengalaman yang lama ini akan memberi input-input yang tepat terhadap setiap ramalan-ramalan beliau.
Mantan Perdana Menteri dua kali ini sejak kebelakangan ini amat risau tentang kedudukan kekuatan kuasa politik Melayu yang semakin terhakis.
Kita sudah hilang kuasa ekonomi dan sekiranya kita hilang pula kuasa politik maka ini akan membawa makna orang Melayu bakal hilang tanah Melayu ini buat selamanya.
Jangan mimpi kita akan mampu untuk menawan semula tanah Melayu ini sekali kita hilang kuasa politik serta ekonomi kepada orang lain.
Andaikata perkara ini berlaku atas kealpaan serta keangkuhan maka kita adalah pengkhianat yang berdosa kepada keseluruhan anak cucu.
Khairuddin Abu Hassan, Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.