
Dalam sejarah politik, setiap parti yang gagal memperbaharui diri akhirnya akan menjadi muzium kepada kejayaannya sendiri. Dan kini, Bersatu sedang menempuh jalan yang sama — dihinggapi oleh satu penyakit senyap yang makin menular: Kultus Nostalgia.
Kultus yang hidup dalam masa silam
Kultus Nostalgia ialah satu fenomena apabila sesebuah gerakan politik terlalu tenggelam dalam kenangan lama sehingga tidak mampu melihat realiti semasa. Ia hidup dalam gelembung memori, merayakan masa lalu tanpa keberanian menghadapi masa depan.
Mereka lebih sibuk menceritakan kisah 40 tahun berjuang dan 25 tahun berkorban, seolah-olah sejarah itu lesen untuk terus berkuasa selama-lamanya.
Namun bagi generasi muda, naratif itu sudah basi. Anak muda tidak menilai seseorang berdasarkan berapa lama dia berjuang, tetapi sejauh mana perjuangannya masih relevan. Puak-puak yang masih berbangga dengan kisah silam ini kini dilihat cringe — cuba kelihatan hebat, tapi hakikatnya out of touch dengan realiti hari ini. Mereka sudah jadi boomer politik: bercakap tentang masa depan, tapi hidup sepenuhnya di masa lalu.
Lelaki yang berseluar di paras dada masih berjalan di koridor kuasa parti bukan lambang parti berpengalaman —tetapi lambang parti yang gagal berevolusi.
Institusi Presiden bukan individu
Ramai juga yang tersilap faham antara Muhyiddin sebagai individu dan Institusi Presiden. Benar, Tan Sri Muhyiddin ialah Presiden parti. Tetapi mengkritik Muhyiddin bukan bermakna mencerca Institusi Presiden.
Kritikan terhadap beliau adalah kritikan terhadap prestasi dan keputusannya sebagai seorang individu yang memegang jawatan itu — bukan terhadap struktur institusi itu sendiri.
Institusi Presiden mesti dihormati. Tetapi Presiden sebagai manusia biasa mesti dinilai. Yang bermasalah bukan sistem, yang lemah bukan jawatan — yang lemah ialah individu yang kini mendudukinya.
Jika setiap kritikan dianggap derhaka, maka parti akan jadi tempat suci tanpa pembetulan. Dan di situlah bermulanya kejatuhan mana-mana organisasi politik — apabila ia terlalu mengkultuskan individu sehingga menolak kebenaran.
Bahaya penjilat di sekeliling
Lebih berbahaya lagi apabila di sekeliling kepimpinan tertinggi wujud kelompok yang tugasnya hanyalah menjilat dan memuja. Mereka ini tidak bercakap benar kerana takut kehilangan habuan atau kedudukan. Mereka lebih sibuk menjaga hati manusia daripada menjaga masa depan parti.
Padahal, inilah waktu untuk Bersatu membuka ruang kepada kepimpinan baru — bukan menutupnya. Generasi pelapis yang ada sekarang bukan seteru kepada generasi lama, tetapi sumber tenaga baharu untuk meneruskan perjuangan dengan pendekatan yang lebih segar, strategik dan realistik.
Kelompok Awal vs Sang Penghijrah
Dalam Bersatu juga wujud dua kelompok — golongan yang baru berhijrah ke rumah perjuangan ini, dan golongan yang membina asas perjuangan sejak awal. Namun, kelompok awal ini kini makin tenggelam dalam kultus nostalgia.
Mantra mereka mudah — “akulah yang tubuh parti di sini.” Tapi di sebalik slogan itu, tersimpan ketakutan yang dalam. Kemasukan Sang Penghijrah menjadikan mereka seperti cacing kepanasan, takut pada bayang-bayang sendiri.
Kerana mereka sememangnya tidak pernah tahu apa-apa sejak awal. Semasa berada dalam parti lama, kerja mereka hanyalah mengepit fail untuk membida projek dan mencium tangan pemimpin. Mereka tidak pernah diasuh berfikir, merancang atau berjuang. Sebab itu apabila dunia politik berubah, mereka terus kekal beku — hidup dalam nostalgia, bukan perjuangan.
Masa untuk meremajakan parti
Kalau Bersatu mahu terus hidup selepas era ini, parti mesti berani meremajakan dirinya. Kepimpinan lapisan kedua mesti diberi peluang tampil ke hadapan.
Yang telah melepasi umur 80 tahun wajar diletakkan dalam Majlis Penasihat (Council of Elders) — bukan lagi di barisan depan. Peranan mereka ialah membimbing, menasihati, dan menjadi suara hikmah — bukan menjadi penghalang perubahan.
Politik moden bukan lagi tentang siapa paling lama berjuang, tetapi siapa paling mampu memahami zaman. Generasi baru tidak lagi terpesona dengan nostalgia; mereka mencari kejujuran, keberanian, dan kecekapan.
Menjejaki langkah Semangat 46
Jika Bersatu terus terperangkap dalam Kultus Nostalgia, parti ini akan menjadi seperti Semangat 46 — parti yang lahir atas idealisme, tetapi mati kerana gagal menyesuaikan diri dengan arus semasa.
Semangat 46 kini hanya tinggal nama dan coretan dalam muzium politik Malaysia; ia diingati bukan kerana kejayaannya, tetapi kerana kegagalannya membaca perubahan zaman.
Jangan biarkan Bersatu menerima nasib yang sama — dikenang hanya sebagai catatan sejarah, bukan kekuatan masa depan.
Sudah tiba masanya parti ini keluar daripada bayang-bayang masa lalu dan membina naratif baru — naratif yang menyatukan rakyat, mengangkat maruah politik Melayu, dan mengembalikan idealisme perjuangan yang tulen.
Kita tidak menolak sejarah, tetapi kita juga tidak boleh menjadi tebusannya.
Bersatu mesti bergerak ke hadapan — bukan dengan menoleh ke belakang, tetapi dengan membina masa depan yang lebih berani, segar dan relevan.
Ahmad Anwar Asyraf
Ahli Bersatu Cawangan Tanjung Selatan, Muar
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.