Saya ingin menegaskan bahawa kegagalan penyatuan ummah dalam kalangan parti-parti utama Melayu pada hari ini tidak dapat dipisahkan daripada sikap dan pendekatan yang diambil oleh Tan Sri Muhyiddin Yasin sendiri.
Persoalannya, adakah benar tindakan Dato’ Seri Hamzah Zainudin yang dikatakan berusaha atau berjumpa dengan pemimpin UMNO bagi membincangkan kemungkinan ke arah penyatuan ummah itu suatu kesalahan?
Jika tujuan pertemuan tersebut adalah untuk mencari titik persamaan dan mengukuhkan kembali kesatuan politik Melayu, maka usaha sedemikian seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang positif, bukannya dijadikan bahan tuduhan.
Malah jika dilihat secara jujur, Dato’ Seri Hamzah Zainudin merupakan antara pemimpin yang banyak berkorban dalam menggerakkan parti Bersatu serta berusaha mencari jalan ke arah penyatuan bangsa melalui kerjasama politik antara parti-parti Melayu utama termasuk PAS dan UMNO.
Usaha beliau untuk membuka ruang perbincangan dan menjalin hubungan politik sepatutnya dihargai kerana ia berpotensi memperkukuhkan kekuatan politik orang Melayu pada masa hadapan.
Saya berpendapat bahawa Tan Sri Muhyiddin sebenarnya tidak mampu, malah mungkin juga tidak benar-benar mahu melihat penyatuan ini berlaku. Sepanjang tempoh kepimpinan beliau, tidak kelihatan satu pun usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengembalikan kerjasama yang baik antara tiga parti besar orang Melayu iaitu Bersatu, PAS dan UMNO.
Sebaliknya, tumpuan beliau dilihat lebih terarah kepada agenda peribadi untuk kembali menjadi Perdana Menteri, khususnya dalam usaha merealisasikan impian menjadi Perdana Menteri ke-11.
Keutamaan seperti ini jelas tidak membantu usaha memperkukuhkan perpaduan politik Melayu yang amat diperlukan dalam suasana politik negara hari ini.
Pihak PAS sendiri sebelum ini dilihat terbuka dan turut menginginkan kerjasama politik bersama UMNO pada masa hadapan demi memperkukuhkan kekuatan politik umat Melayu dan Islam.
Persoalannya, jika dua parti besar ini mempunyai kecenderungan ke arah kerjasama, mengapa Tan Sri Muhyiddin dilihat tidak mahu perkara ini berlaku?
Jika benar pertemuan antara Dato’ Seri Hamzah Zainudin dengan pemimpin UMNO dianggap satu kesalahan atau komplot politik, maka timbul pula persoalan lain. Mengapa apabila Dato’ Seri Azmin Ali, seperti yang didakwa oleh Rafizi Ramli, dikatakan bertemu dengan YAB Perdana Menteri, perkara itu tidak pula dianggap salah?
Standard yang berbeza dalam menilai tindakan pemimpin politik hanya akan menimbulkan kekeliruan dan persepsi bahawa wujud agenda tertentu dalam mengekang usaha penyatuan.
Hakikatnya, penyatuan ummah memerlukan keberanian politik, keikhlasan dan kesediaan untuk meletakkan kepentingan bangsa dan negara mengatasi kepentingan individu. Tanpa komitmen sebenar daripada kepimpinan tertinggi, usaha ke arah penyatuan ini akan terus menjadi retorik semata-mata.
Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin, Mantan Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai
Artikel ini merupakan pendapat peribadi penulis semata-mata dan tidak semestinya mewakili pandangan politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.