
KUALA LUMPUR, 9 Okt 25 – Dua sayap wanita parti pembangkang hari ini menyuarakan bantahan keras terhadap cadangan menjemput bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadual berlangsung di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
Ketua Dewan Muslimat PAS, Nuridah Salleh, turut menegaskan bahawa Sidang Kemuncak ASEAN tidak wajar dijadikan pentas untuk “memutihkan imej” bekas Presiden AS tersebut.
“ASEAN seharusnya menjadi wadah memperkukuh keamanan dan keadilan serantau, bukan medan untuk membersihkan imej pemimpin dunia yang menyokong kezaliman terhadap umat manusia,” katanya.
Menurut Nuridah, kehadiran Trump ke sidang tersebut boleh menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat dan masyarakat Islam serantau, khususnya ketika Gaza masih bergolak akibat serangan rejim Zionis.
“Malaysia mesti kekal konsisten membela Palestin seperti mana selama ini dikenali sebagai negara yang teguh mempertahankan isu Palestin di pentas antarabangsa,” tegasnya.
Beliau turut menyeru kerajaan agar menyatakan bantahan rasmi terhadap kehadiran Trump serta tidak memberikan sebarang ruang khas kepada tokoh yang disifatkan “bertanggungjawab terhadap penderitaan umat Islam di Palestin.”
Sementara itu, Ketua Wiranita PUTRA, Laila Norinda Maon, menyifatkan keterujaan awal kerajaan terhadap kemungkinan kunjungan Trump sebagai tindakan yang memalukan dan mencemarkan prinsip kemanusiaan Malaysia.
Menurutnya, sikap Perdana Menteri yang menyambut baik hasrat untuk menjemput Trump semata-mata kerana pujian ringkas “You are fantastic” menggambarkan kelemahan prinsip diplomasi negara.
“Individu itu diketahui antara watak utama yang menyokong dasar penindasan terhadap rakyat Palestin. Jika benar kunjungan itu berlaku, ia seolah-olah menunjukkan Malaysia sanggup menukar prinsip demi pujian sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menyindir kerajaan dengan mencadangkan agar cuti umum diisytiharkan jika lawatan itu diteruskan, “supaya rakyat dapat menyaksikan bagaimana prinsip boleh dijual atas nama hubungan antarabangsa.”
Kedua-dua pemimpin wanita itu sepakat bahawa kehadiran Trump bukan sahaja tidak membawa manfaat kepada keamanan serantau, malah boleh mencemarkan imej Malaysia sebagai suara keadilan dunia Islam. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.