
KUALA LUMPUR, 15 Okt 25 — Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menyiasat kes kematian pelajar perempuan Tingkatan Tiga yang maut ditikam di sebuah sekolah menengah di Bandar Utama, Petaling Jaya, semalam.
Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Mohd Azam Ahmad, berkata jawatankuasa itu ditubuhkan bagi memastikan siasatan dilakukan secara menyeluruh, telus dan adil.
Menurut beliau, pentadbir sekolah yang terlibat dalam pengurusan harian sekolah berkenaan telah dipindahkan sementara ke Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memberi ruang kepada siasatan berjalan tanpa gangguan.
“Kita akan menilai siapa yang terlibat agar siasatan dapat dijalankan dengan baik dan menyeluruh,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, semalam.
Selain itu, KPM turut menggerakkan pasukan kaunselor serta guru bimbingan dan kaunseling untuk melaksanakan program intervensi dan sokongan psikososial kepada murid, guru dan seluruh warga sekolah yang terkesan dengan kejadian tersebut.
“KPM amat memandang serius insiden jenayah yang berlaku di sekolah. Aspek keselamatan dan kesejahteraan murid akan terus diperkukuh,” tegas Mohd Azam.
Dalam kejadian semalam, seorang pelajar perempuan berusia 15 tahun ditemui maut di dalam tandas sekolah selepas dipercayai ditikam oleh rakan sekelasnya.
Kejadian itu disedari seorang guru yang terdengar jeritan dari tandas dan menemui mangsa dalam keadaan berlumuran darah sebelum mendapatkan bantuan.
Polis menahan suspek, seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun, dan akan memohon perintah reman di Mahkamah Petaling Jaya hari ini untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar, mengesahkan siasatan masih dijalankan dan laporan bedah siasat akan diperoleh bagi menentukan punca sebenar kematian. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.