
KUALA LUMPUR | 5 Mac 26 – Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia Wilayah Persekutuan, Aendrie Azwan Abdul Aziz mengumumkan peletakan jawatan serta mengumumkan keluar daripada parti berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi surat bertarikh 5 Mac yang dihantar kepada Ketua Armada Bersatu Malaysia, Muhammad Hilman Idham, beliau memaklumkan keputusan untuk melepaskan jawatan sebagai Ketua Armada Negeri Wilayah Persekutuan selepas membuat pertimbangan sewajarnya demi kebaikan organisasi.
Dalam surat berasingan kepada Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali, Aendrie turut memaklumkan beliau secara rasmi membatalkan keahlian dalam parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Menurutnya, keputusan tersebut dibuat selepas pertimbangan sewajarnya berdasarkan faktor peribadi serta pendiriannya terhadap halatuju parti.
“Saya dengan ini secara rasmi mengumumkan keputusan untuk meletakkan jawatan dan membatalkan keahlian saya sebagai ahli Bersatu berkuat kuasa serta-merta,” katanya dalam surat berkenaan.
Aendrie turut mengesahkan bahawa selepas tarikh kuat kuasa itu, beliau tidak lagi mempunyai sebarang kaitan, tanggungjawab atau komitmen rasmi dengan parti berkenaan.
Peletakan jawatan ini memberi tamparan hebat buat Pengerusi BPN Negeri, Radzi Jidin yang baru-baru ini diarahkan untuk melaksanakan proses pemulihan parti yang kini berhadapan dengan pembubaran besar-besaran sebagai protes terhadap pemecatan Dato Seri Hamzah Zainudin. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.