
KUALA LUMPUR, 20 Okt 25 – Ahli Parlimen Kubang Kerian Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, institusi kekeluargaan perlu diperkukuhkan dalam menangani isu membelenggu generasi itu hari ini.
Menurutnya, atas tuntutan hidup ibu bapa terpaksa menghantar anak-anak mereka ke pusat asuhan seawal usia empat bulan sedangkan itu adalah waktu penting untuk mereka bersama ibu bapa dan keluarga.
“Pandangan saya agak konservatif, isu besar kita hilang anak lebih awal dari sepatutnya. Anak kita tak dapat kasih sayang sepatutnya.
“Dalam empoh tiga bulan berpisah dah. Kita hantar mereka ke pusat penjagaan. Kita ambil mereka pukul 6 atau 7 petang. Hanya 2 atau 3 jam berada di rumah. Tidur, pagi esok kita hantar balik,” katanya, ketika perbahasan di Parlimen.
Menurutnya, ia mengakibatkan anak-anak kehilangan kasih sayang keluarga pada peringkat awal kehidupan sehinggalah mereka menginjak usia dewasa.
“Isu besar kita ialah anak anak kehilangan kasih sayang, ibu bapa. Sebabnya isu ini lebih besar, daripada apa yang kita bincang.
“Kerana masalah kita ialah masalah kos yang menyebabkan ibu terpaksa bekerja, yang sepatutnya menjaga anak. Sampai bila situasi ini kita perlu teruskan.
“Kita perlu memikir secara besar, isu buli, pelbagai insiden sekolah rendah dan menengah, punca besar anak hilang kasih sayang keluarga,” kata Timbalan Presiden PAS itu.
Menurutnya, dalam situasi itu anak-anak sebenarnya dibesarkan pihak ketiga seperti pengasuh, dan bukannya ibu bapa mereka sendiri.
“Kalau nak bincang peringkat awal kanak kanak. Fitrah awal adalah tanggungjawab ibu bapa, bayangkan pihak ketiga besarkan anak kita, apa disuap, apa diberi makan tentulah berbeza daripada kasih sayang ibu bapa itu sendiri.
“Tujuh tahun pertama sepatutnya ibu bapa mendidik bermain dengan anak, tapi dalam usia usia empat bulan kita hantar ke taman asuhan pisah dengan mak ayah sampai 18 tahun sampai tahap universiti. Sebenarnya kita hilang anak lebih awal,” tambahnya.
Sehubungan itu katanya, kementerian bertanggungjawab perlu melihat mekanisma bagi mengukuhkan kasih sayang ibu bapa dan sistem penjagaan awal kanak-kanak. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.