Dewan Ulama PAS: Kerjasama PRN NS Pemangkin Penyatuan Ummah

KUALA LUMPUR | 22 Julai 26 – Dewan Ulamak PAS Pusat menyatakan sokongan penuh terhadap kesepakatan yang dibina antara parti-parti terbesar Melayu-Islam bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, menyifatkannya sebagai langkah penting untuk memperkukuh agenda Penyatuan Ummah.

Dalam satu kenyataan media, Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Mohd Nor Hamzah berkata, muafakat yang terjalin menjelang Pilihan Raya Dewan Negeri Negeri Sembilan Ke-16 merupakan satu perkembangan positif yang mampu menjadi pemangkin kepada penyatuan politik umat Islam di negara ini.

Menurut beliau, keadaan politik orang Melayu-Islam yang semakin mencabar ketika ini menuntut semua parti berteraskan Melayu dan Islam mengenepikan perbezaan demi mempertahankan kuasa politik umat.

“Sejak kebelakangan ini, timbul pelbagai isu yang meresahkan dan membimbangkan urat nadi umat Islam, khususnya perkara yang menyebabkan masyarakat Melayu-Islam merasakan kepentingan serta kedaulatan hak mereka semakin dicabar secara terbuka,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam juga perlu mengambil iktibar daripada firman Allah SWT dalam Surah Al-Anfal ayat 73 yang mengingatkan tentang bahaya perpecahan dan kesan apabila umat Islam gagal saling membantu sehingga membawa kepada fitnah dan kerosakan di muka bumi.

Mohd Nor berkata, bagi memastikan kesepakatan itu mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT, ia perlu diasaskan atas keikhlasan semua pihak dengan matlamat utama memelihara kuasa politik orang Melayu-Islam daripada terus terhakis.

“Dewan Ulamak PAS Pusat menyeru seluruh orang Melayu-Islam, khususnya para pengundi di Negeri Sembilan, supaya keluar memberikan sokongan penuh kepada usaha murni ini.

“Tanpa dokongan dan undi daripada rakyat, gagasan penyatuan ini tidak akan dapat diterjemahkan dalam bentuk kuasa pemerintahan,” katanya.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa model kesefahaman yang dibentuk di Negeri Sembilan bukan sahaja relevan di peringkat negeri, malah boleh diperluaskan ke peringkat nasional demi kepentingan rakyat.

Katanya, kesepakatan itu juga dilihat sebagai alternatif bagi menolak pihak yang didakwa gagal dalam urus tadbir, lemah dari sudut tatakelola serta tidak mampu memelihara kebajikan rakyat.

Dalam pada itu, beliau berkata pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) yang menekankan nilai kebenaran, keadilan dan perpaduan perlu terus diperkasakan sebagai asas kepada kerjasama politik yang lebih kukuh pada masa hadapan.

Beliau turut mengajak seluruh rakyat mendoakan agar usaha penyatuan itu dipermudahkan dan mencapai kejayaan.

Di PRN Negeri Sembilan kali ini, Barisan Nasional dan Perikatan Nasional menjalin kerjasama pilihan raya dimana BN bertanding 25 kerusi, sementara PN bertanding 11 kerusi. @politiko.my

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.

Total
0
Shares

Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.
Related Posts
Total
0
Share