
KUALA LUMPUR, 1 Sep 25 – Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, menghamburkan kritikan keras terhadap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang didakwanya terlalu lembab dalam menyelesaikan siasatan kes dakwaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyebarkan berita palsu.
Beliau membangkitkan persoalan mengapa badan itu masih gagal mengesahkan sumber rujukan Anwar, walaupun arahan siasatan telah dibuat sejak 6 Ogos lalu.
“Gaji pengerusi, CEO dan pegawai kanan SKMM bukan kecil, tetapi kerja mereka terlalu slow. Takkan nak sahkan sumber berita yang PM10 rujuk itu palsu atau tidak pun makan masa berminggu-minggu?” katanya sinis.
Tun Faisal turut mendesak agar SKMM segera menyiapkan siasatan minggu depan, sekali gus memberi jawapan jelas kepada rakyat. Katanya, jika terbukti dakwaan Anwar tidak benar, Perdana Menteri perlu segera memohon maaf kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Beliau memberi amaran, sekiranya SKMM masih gagal menyelesaikan isu ini dalam masa terdekat, kepimpinan tertinggi badan itu termasuk pengerusi, CEO dan pengarah siasatan harus meletakkan jawatan atau dipecat serta-merta.
Pada sidang parlimen lalu, Anwar dilaporkan berkata, beliau menerima maklumat ada Ahli Parlimen pembangkang tampil mempertahankan warga asing dalam isu subsidi kerajaan. Beliau meminta pembangkang membaca kenyataan Muhyiddin yang didakwanya mempersoalkan tindakan kerajaan membebankan orang asing dalam penyasaran subsidi RON95.
Tan Sri Muhyiddin Yassin kemudiannya menafikan dakwaan kononnya beliau mempertahankan warga asing untuk turut menerima subsidi petrol RON95.
Menurut Ahli Parlimen Pagoh itu tuduhan tersebut merupakan satu pembohongan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya.
Lanjutan isu itu, Anwar telah mengarahkan SKMM untuk menyiasat dakwaannya, namun hingga kini, belum ada laporan berhubung siasatan tersebut. @politiko.my
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.