
KUALA LUMPUR | 22 Julai 26 – Lapan anggota Kongres Amerika Syarikat (AS) daripada Parti Demokrat menggesa pentadbiran Presiden AS menyemak semula hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung tindakan mengesan serta mengusir rakyat Israel yang berada di negara ini.
Gesaan itu dibuat menerusi sepucuk surat rasmi bertarikh 21 Julai 2026 yang dihantar kepada Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, diketuai oleh Ahli Kongres Greg Landsman dan Josh Gottheimer, serta ditandatangani enam lagi anggota Kongres Demokrat.
Dalam surat tersebut, mereka menyatakan kebimbangan terhadap pengumuman Anwar bahawa kerajaan Malaysia akan “mengesan dan mengusir segera” mana-mana rakyat Israel yang ditemui berada di Malaysia. Mereka mendakwa tindakan itu bersifat diskriminasi berdasarkan kewarganegaraan.
Sehubungan itu, mereka menggesa Jabatan Negara AS melakukan semakan terhadap keseluruhan hubungan keselamatan dan ekonomi dengan Malaysia bagi memastikan ia terus memenuhi kepentingan strategik Amerika Syarikat.
Lebih tegas, surat berkenaan turut menggesa pentadbiran AS menggunakan segala saluran diplomatik yang ada bagi memberi tekanan kepada Malaysia.
Malah, mereka mencadangkan supaya pembiayaan di bawah program International Military Education and Training (IMET) digantung sekiranya Malaysia enggan menarik balik dasar tersebut dalam tempoh 15 hari.
Program IMET merupakan bantuan keselamatan Amerika Syarikat yang membiayai latihan profesional anggota tentera Malaysia di institusi ketenteraan AS.
Dalam surat yang sama, anggota Kongres berkenaan turut mempersoalkan hubungan Malaysia dengan Hamas serta menyifatkan pendirian kerajaan Malaysia terhadap Israel sebagai bertentangan dengan kepentingan sekutu rapat Amerika Syarikat. Dakwaan tersebut dinyatakan sebagai antara alasan mengapa hubungan dua hala perlu dinilai semula.
Surat itu ditandatangani oleh Greg Landsman, Josh Gottheimer, Jimmy Panetta, Dan Goldman, Debbie Wasserman Schultz, Jared Moskowitz, Brad Sherman dan Jake Auchincloss.
Setakat laporan ini ditulis, belum ada kenyataan rasmi daripada Wisma Putra atau Pejabat Perdana Menteri berhubung surat yang dihantar kepada Jabatan Negara AS itu.
Jom sertai siaran WhatsApp politiko.my untuk berita terkini.